PENAMPANG – Usaha memperkasa pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terus digerakkan secara meluas oleh PTTI, sebuah pusat tuisyen berasaskan teknologi yang semakin berpengaruh dalam landskap pendidikan negara.
Terbaharu, PTTI berjaya menghimpunkan lebih 4,000 calon SPM dari seluruh negeri Sabah dalam satu program mega, Jelajah Skor A+ SPM, yang berlangsung dengan penuh semangat dan inspirasi di ITCC Penampang.
Program yang menjadi platform padat ilmu dan motivasi ini disambut meriah oleh pelajar, ibu bapa dan tenaga pengajar.
Lebih istimewa, kehadiran tokoh muda dan pemimpin berkarisma, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, serta usahawan berjaya Asyraf Khalid, menjadikan acara ini bukan sekadar sesi pembelajaran, malah medan menyuntik keyakinan dan harapan kepada generasi muda Sabah.
Sementara itu, suasana turut dimeriahkan dengan persembahan eksklusif daripada penyanyi rap popular MK K-Clique serta artis kelahiran Sabah yang juga ikon remaja, Bella Astillah.
Kehadiran mereka memberi nafas segar dalam program pendidikan ini, menyampaikan mesej bahawa kejayaan tidak hanya terbatas kepada akademik, bahkan mampu dikecap dalam bidang seni dan keusahawanan apabila disertai dengan kerja keras dan tekad yang tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau lebih dikenali sebagai Cikgu Fana berkata, program ini adalah sebahagian daripada misi PTTI untuk meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti, khususnya kepada pelajar di kawasan luar bandar dan negeri-negeri yang kurang mendapat tumpuan sebelum ini.
“Kami mahu semua pelajar, tanpa mengira latar belakang atau lokasi, merasai pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna.
“Kehadiran ribuan pelajar hari ini menunjukkan bahawa mereka dahagakan ilmu dan bimbingan.
“Kami di PTTI berasa amat berbesar hati kerana dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan mereka menuju kejayaan,” katanya.
Katanya lagi, kolaborasi bersama tokoh-tokoh terkenal bukan sekadar untuk memeriahkan acara, sebaliknya membawa nilai yang besar kepada pelajar iaitu bahawa kejayaan boleh datang daripada pelbagai jalan dan semuanya bermula dengan usaha serta kepercayaan terhadap potensi diri.
Sementara itu, dalam sesi ucapannya, Syed Saddiq menyampaikan mesej yang menyentuh hati ramai, apabila beliau mengingatkan pelajar bahawa kejayaan bukan milik mereka yang paling cerdas, tetapi milik mereka yang paling konsisten dan berdisiplin.

“Hari ini saya melihat cahaya masa depan negara di Sabah. Saya percaya ramai antara anda akan mengharumkan nama negeri ini dan membanggakan Malaysia suatu hari nanti,” katanya.
Bella Astillah, yang turut tampil memberi kata-kata semangat, meluahkan rasa bangga dapat kembali ke negeri kelahirannya untuk menyokong pelajar.
“Saya tahu bukan mudah menjadi pelajar yang berjaya, tapi saya juga tahu bahawa anak-anak Sabah ini kuat semangatnya.
“Saya doakan yang terbaik untuk semua. Gunakan peluang ini untuk buktikan kemampuan anda,” katanya.
Program ini turut membariskan tenaga pengajar berpengalaman daripada PTTI yang menyampaikan teknik pembelajaran pantas dan strategi menjawab soalan peperiksaan dengan lebih efektif, sesuai dengan pendekatan Skor A+ yang menjadi teras pengajaran PTTI.
Bagi memastikan impaknya terus meluas, PTTI turut mengumumkan penganjuran Seminar Shortcut Last Minute SPM secara percuma yang akan diadakan secara dalam talian pada 27 hingga 30 Ogos 2025.
Seminar ini terbuka kepada semua calon SPM di Malaysia dan dijangka menjadi platform penting bagi pelajar membuat ulang kaji intensif menjelang peperiksaan sebenar.
Pelajar yang berminat untuk menyertai seminar ini boleh mendaftar melalui laman web rasmi PTTI di www.ptti.my.
Melalui penganjuran berterusan program berskala besar seperti ini, PTTI terus meneguhkan komitmennya dalam membina ekosistem pendidikan yang inklusif, progresif dan mampu mencorakkan masa depan pelajar Malaysia ke arah yang lebih cemerlang.