PETALING JAYA – Malaysia terus mengorak langkah sebagai peneraju dalam industri pelancongan, perdagangan dan kebudayaan Islam apabila dua acara mega World Islamic Tourism & Trade Expo (WITEX) dan World Cultural & Arts Festival (WCAF) 2025 berlangsung bermula 22 hingga 24 Ogos ini.
Disempurnakan oleh Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Malaysia, beliau menyifatkan acara ini bukan sekadar platform pameran atau festival seni, sebaliknya suatu manifestasi komitmen negara dalam menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan dunia Islam yang progresif, inklusif dan berdaya saing.
Dalam ucapannya, beliau berkata, penganjuran WITEX dan WCAF adalah cerminan kepada wawasan Malaysia MADANI yang dibawa oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim satu gagasan yang meraikan kepelbagaian, menjulang nilai Islam sebagai teras keadilan dan memperkukuh kedudukan Malaysia di pentas antarabangsa.

“Acara ini menjadi medan memperlihatkan wawasan Malaysia MADANI yang menekankan peranan ilmu, seni dan budaya sebagai jambatan perpaduan serta diplomasi antarabangsa,” katanya.
Menurutnya, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Malaysia semakin menyerlah sebagai negara yang bukan hanya aktif dari sudut pentadbiran, malah memainkan peranan signifikan sebagai pusat pemikiran yang mengangkat isu-isu sejagat seperti kemanusiaan dan keadilan.
Beliau turut merujuk kepada kejayaan diplomatik Malaysia dalam rundingan damai di Kemboja serta pendirian tegas negara dalam memperjuangkan isu Palestin dan Gaza sebagai bukti bahawa Malaysia terus dihormati sebagai suara yang berprinsip dan memiliki autoriti moral dalam arena global.
“Kita tidak lagi hanya menjadi pemerhati Malaysia kini tampil sebagai penggerak, pembina jambatan dan pencetus naratif dunia Islam yang berani dan berintegriti,” katanya.

Dengan kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, WITEX dan WCAF turut menjadi wahana strategik untuk mengukuhkan kerjasama serantau dalam industri pelancongan Islam dan ekosistem halal yang merangkumi perdagangan, budaya serta ekonomi kreatif.
Penganjuran acara ini dilihat mampu memperkukuh kedudukan Asia Tenggara sebagai destinasi utama pelancongan Islam global, selari dengan matlamat menjadikan rantau ini sebagai pemain utama dalam ekonomi halal dunia.
“WITEX dan WCAF ialah peluang ASEAN menampilkan kekuatan kolektif dari warisan budaya bersama sehinggalah kepada sinergi dalam pasaran dagangan halal,” katanya.

WITEX dan WCAF bukan sekadar acara perniagaan, tetapi juga menjadi ruang interaksi ekonomi dan budaya yang saling melengkapi.
Usahawan PKS, pelabur dan penggiat industri pelancongan Islam hadir bagi meneroka peluang kerjasama baharu, sementara festival seni budaya Islam memperlihatkan kreativiti dan warisan yang mencerminkan nilai-nilai sejagat seperti belas ihsan, keindahan dan kesatuan insan.
Dalam memperkukuh mesej ini, Shamsul memetik ayat al-Quran dari Surah Al-Anbiya ayat 107 mengenai misi Rasulullah SAW sebagai rahmat ke seluruh alam, sekaligus menyerlahkan budaya Melayu sebagai refleksi nilai-nilai Islam bersopan, berbudi dan bertoleransi.

Beliau turut mengimbau kata-kata Ibn Battuta, pengembara agung Islam, yang menyatakan pengembaraan bukan hanya membuka mata terhadap keindahan dunia, tetapi juga menjadikan kita pencerita yang membawa hikmah serta pemahaman mendalam terhadap perbezaan budaya.
Shamsul turut memuji peranan aktif MATA dalam memperkukuh industri pelancongan melalui latihan, pensijilan, misi perdagangan dan pelbagai program pemerkasaan ke arah peningkatan standard industri.
“Segala usaha ini mencerminkan nilai-nilai Malaysia MADANI kemakmuran yang inklusif, tadbir urus beretika, pemeliharaan warisan dan inovasi berasaskan belas ihsan,” katanya.
Dalam ucapannya, Shamsul turut mengangkat peranan belia dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebagai pemacu utama ekonomi masa depan.
Daripada syarikat pemula dalam teknologi halal hingga kepada pemimpin sosial berorientasikan ESG, anak muda Malaysia kini menjadi pencetus perubahan ke arah ekonomi yang lebih mampan dan beretika.
“Keusahawanan hari ini bukan hanya soal keuntungan, tetapi soal keadilan sosial, kelestarian alam dan pemerkasaan komuniti,” katanya.

Mengakhiri ucapannya, Shamsul menyeru agar WITEX dan WCAF tidak hanya dianggap sebagai acara tahunan, sebaliknya sebagai platform berterusan yang mencetus perubahan menyeluruh.
Beliau menggesa agar pelancongan berasaskan komuniti terus diperkasa, akses pasaran yang adil untuk usahawan kecil diperluas, dan teknologi digital dimanfaatkan untuk membina jaringan kepercayaan dalam pasaran halal antarabangsa.
“Marilah kita cipta naratif baharu, rangka kerjasama strategik dan teroka inovasi demi menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan Islam yang disegani dunia,” katanya.
Dengan berlangsungnya WITEX dan WCAF 2025, Malaysia menzahirkan hasrat besar untuk terus mendepani era baharu pelancongan dan perdagangan Islam sebuah agenda nasional yang membina masa depan lebih adil, berbudaya dan berdaya tahan untuk semua.