“Tanpa Minyak Sawit, Ayam Goreng Pun Tak Sedap” – SD Guthrie Bongkar Realiti Industri
Oleh Aizat AATV

KUALA LUMPUR, 18 November 2025 — Industri sawit Malaysia memerlukan suara pihak ketiga untuk mengubah persepsi pengguna, dan bukan sekadar penjelasan daripada syarikat sendiri. Itu penegasan Deputy Group Managing Director SD Guthrie Berhad, Mr Mohd Haris Mohd Arshad, ketika menjelaskan kepentingan mempromosikan minyak sawit lestari kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa.

Menurut beliau, meskipun Malaysia menghasilkan minyak sawit yang paling kompetitif, paling tinggi hasilnya, serta memiliki pensijilan RSPO dan MSPO, maklumat ini kurang memberi impak apabila disampaikan oleh syarikat sahaja.

“Bila datang daripada saya, mungkin tidak meyakinkan. Tetapi jika datangnya daripada pihak lain — NGO, rakan industri, zoo, atau komuniti — barulah mesej ini benar-benar sampai,” katanya.

Zoo di UK & AS juga jadi jurucakap minyak sawit mampan.

Haris menjelaskan, banyak Zoo di United Kingdom dan Amerika Syarikat kini aktif memberi penerangan tentang perbezaan antara “sustainable palm oil” dan “non-sustainable palm oil” kepada pengunjung.

Ia sekaligus membantu mengubah naratif global bahawa minyak sawit adalah produk berisiko, sedangkan realitinya ia digunakan dalam ribuan produk harian.

“Tanpa minyak sawit, jenama-jenama ayam goreng ternama pun tak rasa sama”

Haris menarik perhatian bahawa minyak sawit bukan sekadar minyak goreng.

“Kalau tak ada palm oil, banyak jenama ayam goreng mungkin tak sesedap sekarang, snek-snek coklat juga tak rasa sama, minuman coklat mungkin tak ada. Shampoo, ubat gigi, semuanya mengandungi palm oil,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa pengguna tidak sedar betapa besar peranan minyak sawit dalam produk global — dari makanan hingga penjagaan diri.

Kepentingan memilih produk yang menyokong ‘sustainable palm oil’

Haris berkata pengguna boleh membantu industri dengan memilih produk yang menggunakan minyak sawit lestari, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap minyak sawit Malaysia yang jauh lebih mampan berbanding negara pengeluar lain.

Cabaran: Rantaian bekalan yang tidak dapat dikesan

Walaupun premium khas sebanyak USD25 per tan ditawarkan kepada pekebun kecil yang menghasilkan minyak sawit lestari, ramai tidak dapat menikmatinya akibat masalah rantaian bekalan.

“Minyak smallholder tidak sampai ke kilang kami kerana dijual kepada peraih,” katanya.

Beliau menekankan keperluan traceability supaya pekebun kecil dapat menikmati insentif dan membina masa depan lebih stabil.

“Mitos minyak sawit tak sihat adalah tidak benar”

Haris turut menolak dakwaan bahawa minyak sawit tidak sihat berbanding minyak soya atau minyak zaitun.

“Itu mitos. Minyak sawit terbukti berkhasiat, cuma masyarakat kita tidak didedahkan,” katanya.

Beliau mencadangkan supaya pendidikan minyak sawit diperkenalkan di sekolah dan universiti bagi membentuk kefahaman lebih mendalam sejak awal.

Malaysia menuju 100% minyak sawit lestari

Dengan pensijilan MSPO, Malaysia disifatkan berada di landasan terbaik untuk menjadi negara pengeluar minyak sawit paling lestari dunia.

“Bila dunia sedar minyak sawit Malaysia 100% lestari dan boleh dijejak, permintaan akan naik. Bila permintaan naik, harganya juga meningkat,” jelas Haris.

Beliau menutup kenyataan dengan menyeru rakyat Malaysia untuk lebih yakin dengan minyak sawit tempatan.

#AATVNews #SustainablePalmOil #MinyakSawitMalaysia #SupportMSPO #SDGuthrie #FaktaSawit #Kelestarian #PalmOilTruth #MalaysiaBoleh #EconomicImpact

Leave a Reply