Usahawan Tempatan Bayar Sewa & Bil, Tapi Kilang Tetap Ditekan – Apa Peranan TNB?

IPOH, 4 September 2025 – Satu memorandum khas telah diserahkan oleh Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN) yang diketuai oleh Aktivis Sosial, Dato’ Dr. Kalaivanar, kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhubung isu kilang Big Wheel (M) Sdn. Bhd di Tasek Industrial Estate, Ipoh.

Memorandum yang turut diserahkan lebih awal di ibu pejabat TNB Kuala Lumpur kepada Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid serta Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Isyam, menuntut agar TNB bertindak adil serta menangguhkan sebarang pemotongan bekalan elektrik sehingga keputusan mahkamah dikeluarkan.

Kilang Big Wheel (M) Sdn. Bhd, yang menyewa premis secara sah sehingga tahun 2027, kini menanggung risiko besar akibat tekanan daripada pihak pembeli baharu bangunan tersebut. Pihak pembeli dilaporkan cuba mempengaruhi TNB untuk memutuskan bekalan elektrik bagi memaksa kenaikan kadar sewa daripada RM16,500 kepada RM60,000 sebulan.

Menurut Dato’ Dr. Kalaivanar, tindakan ini dianggap mendiskriminasi seorang usahawan tempatan, Encik Loee Chee Keong, yang telah menjelaskan semua tunggakan terdahulu serta bil semasa tanpa sebarang hutang kepada TNB.

“Sekiranya bekalan dipotong, lebih 100 pekerja termasuk rakyat tempatan dan pekerja asing akan hilang punca pendapatan. Ini bukan sahaja menjejaskan pengilang tetapi juga lebih 100 keluarga yang bergantung kepada kilang ini,” tegas beliau.

Beliau turut menyelar tindakan sesetengah pegawai TNB di peringkat daerah yang didakwa tunduk kepada pengaruh pihak tertentu. SBKN menggesa pihak atasan TNB untuk bersikap profesional, bebas daripada tekanan pihak luar, serta menghormati perjanjian sah yang termeterai.

Memorandum itu turut menekankan bahawa isu sebenar berkaitan dengan insolvensi tuan tanah asal (CK Rubber Industries Sdn. Bhd) dan bukannya penyewa sekarang. Oleh itu, adalah tidak adil untuk memangsakan penyewa sah yang membayar cukai tinggi serta menyumbang kepada ekonomi negara.

SBKN turut mengingatkan bahawa TNB sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu mengutamakan keadilan dan menjaga imej institusi dengan bertindak berlandaskan undang-undang, bukannya pengaruh atau tekanan pihak tertentu.

#SolidaritiUsahawan #KeadilanUntukBigWheel #TNBAdilUntukSemua #JanganAniayaUsahawan #100KeluargaTerancam

Leave a Reply

google.com, pub-1350607744479823, DIRECT, f08c47fec0942f