MyCar Rakan Rasmi E-hailing GHAS 2025, Sokong Industri Halal Global

PUTRAJAYA, 4 September 2025 – Malaysia sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju industri halal dunia apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini mengumumkan penganjuran Global Halal Summit (GHAS) 2025, yang bakal berlangsung dari 16 hingga 26 September 2025 di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sidang media pra-pelancaran hari ini turut menggariskan tema “Integrity, Sustainability, Resilience”, melambangkan tekad Malaysia dalam memperkukuh ekosistem halal bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga global.

Menurut Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, GHAS 2025 menghimpunkan badan pensijilan halal antarabangsa, pembuat dasar, ahli akademik serta pemain industri bagi berkongsi kepakaran dan meneroka peluang baharu dalam agenda halal global.

Antara program utama yang bakal mencuri tumpuan termasuk:

15th Halal Certification Bodies Convention (HCBC) – 16-17 Sept, Shangri-La Hotel KL

4th International Halal Technical Capacity Development Programme (IHTCDP) – 16-17 Sept, Shangri-La Hotel KL

Global Halal Talk – 17 Sept, Shangri-La Hotel KL

21st Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) – 17-20 Sept, MITEC KL

14th SMIIC Technical Committee Week – 22-26 Sept, Impiana Hotel KL

World Halal Business Conference (WHBC) – 18 Sept, MITEC KL

Malaysia International Halal Research and Education Conference (MIHREC 2025) – 19-22 Sept, Everly Hotel Putrajaya

Bagi memperkukuh kemudahan peserta dan pelawat antarabangsa, JAKIM turut mengumumkan TV AlHijrah sebagai Rakan Media Rasmi, manakala MyCar dilantik sebagai Rakan E-Hailing Rasmi GHAS 2025. Menurut CEO MyCar, Dato’ Noor Sheena, kerjasama ini membolehkan syarikat e-hailing tempatan memberikan tawaran menarik serta kemudahan perjalanan yang lebih mesra pengguna sepanjang acara berlangsung.

GHAS 2025 dijangka menghimpunkan lebih 1,000 peserta antarabangsa daripada 48 negara dan 92 badan pensijilan halal dunia, menjadikan Malaysia destinasi tumpuan utama dalam perbincangan, inovasi, serta perkembangan teknologi halal global.

“Sidang kemuncak ini adalah bukti komitmen Malaysia untuk terus menjadi jambatan strategik dan rujukan halal dunia. Ia bukan sahaja mengangkat jenama Halal Malaysia, malah mengukuhkan kedudukan negara sebagai hub halal antarabangsa,” ujar Dato’ Dr. Sirajuddin.

Rakan media, industri serta orang ramai dijemput untuk bersama menyemarakkan GHAS 2025 dengan mendaftar melalui portal rasmi MYHALAL dan GHAS 2025.

#GHAS2025 #GlobalHalalSummit #HalalMalaysia #IntegritySustainabilityResilience #KualaLumpurPutrajaya #HalalHubDunia #HalalInnovation #MalaysiaMadani #MIHAS2025 #HalalForAll

Leave a Reply

google.com, pub-1350607744479823, DIRECT, f08c47fec0942f