Peguam Dakwa MCMC Tekan Platform Digital
KAJANG, 6 September 2025 — Seorang peguam, Nadia Abd Aziz daripada Concerned Lawyers for Justice, hari ini tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang berhubung pemadaman akaun TikTok rasmi IPK TV yang digunakan wartawan bebas bagi tujuan pekerjaan.
Menurut Nadia, akaun tersebut sebelum ini telah memuat naik video berkenaan cadangan undang-undang terhadap Kampung Baru Cina, yang meraih lebih 500,000 tontonan dalam tempoh kurang 24 jam sebelum dipadam tanpa sebarang notis. Beliau mendakwa pemadaman itu merupakan kali kelima akaun berkenaan dipadamkan.
“Jika hanya video saya dipadam mungkin saya tak buat laporan, tetapi kerana ia melibatkan periuk nasi wartawan-wartawan freelancer yang termasuk dalam kategori pekerja gig di bawah Akta Pekerja Gig 2025, saya terpanggil untuk bertindak,” katanya.
Nadia menegaskan bahawa pemadaman akaun ini bercanggah dengan hak kebebasan bersuara yang dijamin Perkara 10 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan, selain melanggar prinsip keadilan semula jadi kerana tiada notis diberikan.
“Setiap akaun TikTok adalah punca pendapatan mereka. Kalau ia dipadam tanpa alasan yang munasabah, ia sama dengan menafikan periuk nasi wartawan gig,” katanya lagi.
Beliau juga menggesa Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil, serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjelaskan alasan jelas mengapa kandungan berbentuk kritikan dasar kerajaan diturunkan, sedangkan ia tidak mengandungi sebarang hasutan, fitnah, atau ujaran kebencian.
Nadia berkata, laporan polis ini juga bertujuan membuka ruang siasatan terhadap kemungkinan akaun tersebut dipadam atas arahan pihak tertentu, serta sebagai asas untuk tindakan susulan melalui Tribunal Pekerja Gig atau semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.
#KebebasanMedia #WartawanGig #AkaunDipadam #HakBersuara #MCMC #FahmiFadzil #RUUPekerjaGig #JusticeForFreelancers #SuaraRakyat #IPKTV