Kuala Lumpur, 8 Sept 2025 – Isu Urban Renewal Act (URA) terus mendapat perhatian apabila Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Dato’ Mohd Razlan Rafii, menegaskan bahawa URA bukan sekadar soal pembangunan semula bandar, tetapi juga perjuangan untuk mempertahankan “last piece of land” yang menjadi hak golongan berpendapatan rendah di bandar.
Menurut Dato’ Razlan, beliau berkesempatan bertemu dengan Ketua-Ketua Pergerakan Pemuda dan Putera UMNO Bahagian di Wilayah Persekutuan malam tadi bagi membincangkan isu ini. Perbincangan tersebut memberi gambaran jelas bahawa anak muda bandar semakin matang memahami kesan URA terhadap rakyat marhaen.

“Saya berasa gembira mendengar pandangan mereka yang cukup mendalam. Ada idea yang boleh digunapakai bagi memastikan URA tidak mengkhianati golongan kurang mampu di bandar,” katanya.

Beliau turut menggesa agar pandangan tersebut dibukukan dalam bentuk kertas kerja untuk mewakili suara generasi muda di bandar pada masa hadapan.

“URA bukan sahaja tentang pembangunan, tetapi perjuangan memastikan rakyat, khususnya golongan B40 dan M40, mampu memiliki rumah dengan harga yang munasabah serta tidak kehilangan hak tanah yang terakhir,” tegasnya lagi.

Dato’ Razlan turut merakamkan penghargaan kepada Pemuda dan Putera UMNO yang memberi komitmen dalam memperjuangkan isu penting ini demi masa depan generasi muda bandar.


#LastPieceOfLand #PertahanHakRakyat #AnakMudaBandar #URA2025 #SuaraMarhaen #UMNOSeputeh #RumahMampuMilik #HartanahUntukRakyat #GenerasiMasaDepan #BersamaPertahankanTanah