KUALA LUMPUR, 10 September 2025 – HALOje Delivery, salah satu platform penghantaran makanan dan barangan tempatan, menyeru kerajaan agar memberi perhatian khusus kepada syarikat tempatan dalam pelaksanaan Belanjawan 2026, khususnya selepas kelulusan Akta RUU Gig baru-baru ini.

Pengasas & Pengarah HALOje Delivery, Encik Jalluddin Abu Hassan, menegaskan bahawa pelaksanaan RUU Gig akan membawa implikasi kos tambahan kepada platform, termasuk integrasi sistem dengan PERKESO bagi pembayaran caruman pekerja. Beliau berharap agar kerajaan menyediakan peruntukan khas untuk menampung sebahagian kos tersebut, sekurang-kurangnya bagi platform tempatan.

“Platform luar negara boleh diketepikan. Fokus kita adalah pada platform tempatan yang mendukung rakyat Malaysia. Kalau boleh, dalam Bajet 2026, biarlah ada sedikit insentif atau bantuan khusus untuk kami,” katanya semasa sesi libat urus bersama KESUMA.

HALOje Delivery kini bukan sahaja beroperasi di Malaysia tetapi telah melebarkan sayap ke Indonesia, termasuk di Bekasi dan Bandung. Di sana, syarikat itu telah bekerjasama dengan Hospital Al-Islam untuk penghantaran ubat-ubatan. Malah, HALOje bakal melancarkan perkhidmatan Ojo – sebuah servis penghantaran berkonsepkan Gojek menggunakan motosikal – menjelang Oktober ini.

Pengarah Pembangunan Perniagaan HALOje Delivery, Arif Fadli Abd Wahab, pula menekankan bahawa selepas kelulusan RUU Gig, langkah seterusnya adalah memperhalusi penambahbaikan melalui Belanjawan 2026.

“Kemenangan pertama adalah kelulusan RUU Gig. Kemenangan kedua yang kita harapkan ialah peruntukan bajet khusus untuk pekerja gig serta platform tempatan agar mampu bersaing dengan gergasi luar negara. Kita mahu ekosistem ini selamat, adil, dan memberi manfaat kepada rakyat,” jelasnya.

Kedua-dua pemimpin HALOje turut memuji penubuhan SEGIM (Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, sebagai platform penting untuk menyelaras kepentingan pekerja gig bersama pelbagai kementerian.

Encik Jalaluddin menambah bahawa HALOje Delivery berbeza dengan platform antarabangsa kerana syarikatnya mengutamakan tanggungjawab sosial.

“Di Maran, Pahang, bila syarikat luar tak mahu masuk sebab tiada keuntungan, HALOje masih menyediakan servis. Bagi kami, walaupun rugi, asalkan rakyat mendapat kemudahan, itulah tanggungjawab sosial kami sebagai syarikat tempatan,” ujarnya.

HALOje Delivery percaya bahawa dengan sokongan kerajaan melalui Bajet 2026, syarikat tempatan mampu terus bertahan, berkembang, dan memberi manfaat kepada masyarakat tanpa hanya berpaksikan keuntungan semata-mata.

#HALOjeDelivery #RUUGig #Belanjawan2026 #PlatformTempatan #RiderMalaysia

Leave a Reply

google.com, pub-1350607744479823, DIRECT, f08c47fec0942f