KUALA LUMPUR, 10 September 2025– Syarikat e-hailing tempatan, MyCar, tampil memberi pandangan dalam sesi libat urus Belanjawan 2026 yang berlangsung di ibu negara. Kehadiran lebih 400 peserta dari pelbagai sektor membuktikan komitmen industri untuk memberi cadangan kepada kerajaan, khususnya dalam memperkukuh ekonomi gig dan e-hailing.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MyCar, Dato’ Noor Sheena, pihaknya menekankan kepentingan menetapkan kadar tambang yang lebih adil dan seragam agar tidak dimonopoli oleh syarikat luar negara.
“Kita mahu harga tambang yang selaras supaya syarikat luar tidak boleh monopoli pasaran. Pemandu e-hailing bekerja keras dari pagi hingga malam mencari rezeki, jadi sistem tambang yang adil amat penting,” jelas beliau.
Dato’ Noor Sheena turut menyatakan penghargaan terhadap keprihatinan Menteri Sumber Manusia, YB Steven Sim, yang dijangka akan memberi perhatian terhadap isu-isu yang dibangkitkan, termasuk melibatkan kesejahteraan pemandu e-hailing dan industri gig.
Selain MyCar, pelbagai pihak termasuk persatuan TASKA, industri teksi, serta wakil NGO hadir memberi cadangan. Sementara itu, pengumuman kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan di Parlimen dianggap sebagai langkah positif dalam melindungi hak dan kepentingan pemandu e-hailing.
MyCar juga bakal memainkan peranan besar dalam acara antarabangsa, apabila diumumkan sebagai E-hailing rasmi Global Halal Submit (17-20 September) dan MIHAS 2025 (18-22 September) yang akan berlangsung di Kuala Lumpur.
“Kami menyeru semua pemandu MyCar di Kuala Lumpur untuk aktif menghidupkan aplikasi kerana banyak peluang kerja tersedia sepanjang acara besar ini. InshaAllah, harga tambang juga akan lebih kompetitif dan adil,” tambah beliau.
Langkah ini sekaligus memperkukuh jenama MyCar sebagai syarikat e-hailing tempatan yang konsisten memperjuangkan hak pemandu serta memberi alternatif halal dan inklusif kepada rakyat Malaysia.
#Belanjawan2026 #MyCarMalaysia #EhalilingMalaysia #GigEconomy #HakPemandu