KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszafar Gulam Mustakim membidas kenyataan Setiausaha Politik (Supol) kepada Menteri Wilayah Persekutuan yang didakwa tidak cermat dan gagal memahami realiti politik serta kerja masyarakat di Kuala Lumpur.
Dalam kenyataan balasnya, Gulam menegaskan kesilapan menyebut namanya sebagai “Muszaffar Shah” mencerminkan kualiti rendah seorang pegawai politik yang tidak mengambil berat tentang UMNO, apatah lagi perjuangan pemimpinnya di akar umbi.
“Jahil betul Supol YB Menteri WP menyatakan perjuangan saya bersifat individu. Mohon lihat sendiri bagaimana UMNO Batu menyantuni masyarakat sejak 2013. Malah saya telah menjadi Pengerusi Persatuan Penduduk Rumah Pangsa PKNS Jalan Kuching sejak umur 23 tahun,” katanya.
Beliau turut menegur tindakan Supol yang didakwa cuba mengalihkan isu utama berkaitan kuota Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) dengan mengaitkannya pada isu bazaar Ramadan. Menurut Gulam, Menteri sendiri telah melanggar prinsip dan janji berhubung pembahagian kuota MPP yang dipersetujui dalam perjumpaan rasmi bersama wakil-wakil UMNO Batu.
“Mungkin Supol tersinggung kerana saya menolak tawaran jawatan MPPWP selepas mengakui kesilapan mengenai kuota. In Sha Allah UMNO Batu masih mampu bergerak sendiri tanpa kerjasama YB Menteri,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Gulam turut mengingatkan bahawa UMNO Batu pernah membantu PKR Cabang Batu secara percuma semasa pemilihan parti, dengan menyediakan dewan dan kemudahan logistik. Baginya, itu bukti bagaimana UMNO Batu ikhlas menjalin persahabatan politik.
Lebih pedas lagi, Gulam menyindir kepimpinan Menteri WP dan pegawai politiknya yang bukan berasal dari Kuala Lumpur. Beliau mencadangkan agar YB Fahmi Fadzil dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan atau melantik anak jati WP, Datuk Azman Bidin, sebagai Senator dalam rombakan kabinet hujung tahun ini.
“Ini masalah kita di WP bila dapat pemimpin bukan dari WP. Menteri dari Johor, Supol dari Kedah. Sampai bila warga WP perlu hadap situasi ini?” tegasnya.
#UMNOBatu #WilayahPersekutuan #PolitikMalaysia #IsuMPP #GulamMuszafar #FahmiFadzil #UMNOvsPH #SuaraRakyatKL #PolitikWP #RombakanKabinet