KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr Azam Rauzan, menyifatkan Perikatan Nasional (PN) kini berada di ambang perpecahan selepas pelbagai kenyataan bercanggah dalam isu calon Perdana Menteri daripada blok tersebut.
Beliau membidas cadangan penamaan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai Perdana Menteri ke-11 dengan menyindir bahawa beliau wajar “menyelesaikan kes mahkamah dahulu sebelum berangan”.
“Sanusi pula kata tak ada duit, tak ada jentera, jadi jelas PN ini retak menanti belah. Perikatan Nasional sudah boleh ditalkinkan,” katanya ketika ditemui media.
Dr Azam turut menegaskan tiga perkara penting sebagai pengajaran dalam politik negara, terutama berkaitan watak sebenar PAS.
Menurutnya, PAS yang suatu ketika dahulu memperjuangkan penyatuan ummah dalam Muafakat Nasional, akhirnya meninggalkan UMNO demi kepentingan bersama BERSATU yang ketika itu kuat dengan dana Jana Wibawa.
“PAS ini parti opportunis. Waktu BERSATU ada duit, mereka bersama. Bila BERSATU sekarang kosong dan ‘bankrupt’, mereka pula hina. Ajaibnya, kenapa hanya pemimpin BERSATU didakwa? PAS ini terlalu suci sangatkah sampai tiada seorang pun pemimpin mereka disiasat?” soalnya.
Beliau turut mengingatkan UMNO agar berhati-hati dalam sebarang kerjasama politik dengan PAS agar tidak “dipatuk oleh ular yang sama di lubang yang sama”.
Menyentuh dakwaan UMNO pernah menerima dana daripada PN pada PRN Sabah tahun 2020 lalu, Dr Azam tidak menafikan adanya usaha mencari sumber kewangan ketika itu.
“Itu semua hearsay. Tapi yang saya tahu, ketika PRN Sabah UMNO dan BN terkial-kial, presiden kita terpaksa berhempas pulas mencari sumber kewangan demi memastikan kemenangan. Janganlah sekarang selepas menang, tiba-tiba nak spin cerita lain,” katanya.
#PolitikMalaysia #UMNO #PAS #PerikatanNasional #PNRetakMenantiBelah #DrAzamRauzan #PRU16 #IsuSemasa #OpportunisPolitik #PolitikTanpaHenti