KUALA LUMPUR, 12 Oktober 2025 – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini melancarkan kempen “Awak OK Tak?” yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri semasa Program Kasih Fun Run – Awak OK Tak? di Dataran DBKL, Kuala Lumpur.

Menurut YB Nancy Shukri, kempen ini merupakan langkah penting kerajaan untuk membina masyarakat yang lebih prihatin, saling peduli dan menyokong antara satu sama lain dalam mendepani cabaran kehidupan moden. Beliau turut menyeru semua pihak menjadi agen perubahan dengan menyebarkan mesej “Awak OK Tak? Jom Kongsi”, serta peka terhadap tanda-tanda seseorang yang mungkin memerlukan bantuan.

Kempen ini dilaksanakan bagi:

meningkatkan kesedaran mengenai kesejahteraan emosi rakyat,

mewujudkan masyarakat prihatin dan penyayang,

membantu orang ramai mendapatkan perkhidmatan sokongan,

serta mempromosikan Talian Kasih 15999 sebagai saluran aduan dan sokongan sahih serta selamat.

Sehingga September 2025, Talian Kasih telah menerima 52,801 panggilan, melibatkan aduan berkaitan keganasan rumah tangga, gangguan seksual, buli, penderaan, masalah kekeluargaan, sosial remaja, kesuburan dan pelbagai isu lain. Angka ini jelas menunjukkan bahawa rakyat Malaysia amat memerlukan ruang dan saluran sokongan emosi serta sosial.

Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, menyediakan khidmat kaunseling, bantuan kebajikan, perlindungan, bimbingan sosial remaja dan perkhidmatan reproduktif bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

Pelancaran kempen ini diadakan bersama program Kasih Fun Run – Awak OK Tak? anjuran KPWKM dan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dengan penyertaan lebih 2,500 peserta. Program larian santai ini bukan sahaja memupuk gaya hidup sihat secara fizikal, malah turut menekankan kepentingan kesejahteraan emosi dan sosial.

#AwakOKTak #KasihFunRun #KesejahteraanEmosi #SokonganSosial #TalianKasih15999 #MentalHealthAwareness #KPWKM #YayasanKebajikanNegara #PeduliMasyarakat #MalaysiaPrihatin

Leave a Reply

google.com, pub-1350607744479823, DIRECT, f08c47fec0942f