KUALA LUMPUR, 11 Oktober 2025 — Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Dato’ Sumali Reduan menyifatkan Bajet 2025 yang baru diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sebagai satu suntikan semangat baharu buat dunia sukan tanah air, khususnya sukan warisan negara — sepak takraw.
Menurut Dato’ Sumali, peruntukan besar yang disalurkan kepada sektor sukan menunjukkan komitmen kerajaan untuk memupuk semangat perpaduan rakyat melalui aktiviti sukan yang dekat di hati masyarakat.
“Saya lihat bajet kali ini positif dan menunjukkan isyarat jelas kerajaan mahu memberi tumpuan kepada sukan yang boleh menyatu padukan rakyat Malaysia. Sepak takraw antara sukan yang saya rasa berpotensi besar dalam hal ini,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa PSM kini sedang berusaha memastikan sukan sepak takraw kembali ke zaman kegemilangannya melalui pelbagai inisiatif pembangunan termasuk di peringkat akar umbi, akademik dan kebangsaan.
Antara tumpuan utama ialah pembangunan Akademi Sepak Takraw Negara, yang kini dalam fasa terakhir menaik taraf bangunan dan kemudahan. Akademi itu dijangka siap sepenuhnya pada Januari 2026, dan bakal menjadi pusat rujukan utama bagi pembangunan bakat baharu dalam sukan ini.
“Fasiliti, bangunan dan kemudahan sudah tersedia. Kini yang penting adalah kaedah untuk menjayakan agenda akademik itu sendiri,” jelas beliau.
Dato’ Sumali turut menyatakan bahawa bajet tetap dan sokongan berterusan amat diperlukan agar akademi dapat beroperasi secara konsisten setiap tahun.
“Akademi ini bukan sekadar tempat latihan, tetapi melibatkan persekolahan, tempat tinggal dan pengangkutan pemain. Jadi kita perlukan bajet yang konsisten. Kalau tidak, kita akan jalankan secara separuh masa terlebih dahulu — mungkin Jumaat, Sabtu dan Ahad,” katanya lagi.
Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa PSM kini berhasrat memperluaskan daya tarikan sepak takraw kepada semua kaum di Malaysia agar sukan warisan ini menjadi wadah perpaduan sejati.
“Kebanyakan peminat sepak takraw hari ini adalah orang Melayu. Tapi kita mahu lihat satu hari nanti ada pemain kebangsaan berbangsa Cina, India, dan sukan ini disokong semua rakyat tanpa mengira kaum. Itu akan menjadikan sepak takraw benar-benar menyatukan Malaysia,” tegasnya.
Melalui perbincangan bersama Kementerian Belia dan Sukan serta Menteri YB Hannah Yeoh, Dato’ Sumali optimis bahawa sukan sepak takraw akan terus berkembang dengan adanya Program Pembangunan Sepaktakraw Negara (NSTDP) yang kini sudah berjalan di peringkat negeri dan bakal dilancarkan ke peringkat kebangsaan tidak lama lagi.
“NSTDP sudah ada bajet daripada KBS dan MSN, dan programnya kini di fasa akhir. Saya yakin dengan kerjasama semua pihak, sepak takraw akan kembali digemari seperti dahulu,” tambahnya.
Beliau turut menyeru agar pihak korporat dan penaja tampil memberikan sokongan kepada akademi tersebut bagi memastikan kelangsungan pembangunan pemain dan sistem latihan dapat dijalankan secara menyeluruh.
“Akademi ini sejarah baharu untuk sepak takraw negara. Kita mahu jadikannya hab utama, tempat di mana segalanya bermula,” ujar Dato’ Sumali mengakhiri kenyataannya.
#SepakTakrawMalaysia #SukanWarisanKita #Bajet2025 #KembaliGemilang #AkademiSepakTakrawNegara #PerpaduanMelaluiSukan #TakrawBangkit #AnakMudaMalaysia #SukanUntukSemua #MalaysiaBoleh