oplus_4194304
oplus_4194304

PUTRAJAYA, 13 Oktober 2025 — Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) hari ini tampil di hadapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyerahkan surat rasmi berkaitan dakwaan skandal rasuah dan salah guna kuasa yang melibatkan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal, melibatkan jumlah besar bernilai RM315 juta.

Menurut Pengerusi G57, Datuk Zulkarnain Mahdar, pihaknya bersama pasukan peguam yang diketuai Tuan Haji Bustamam sepatutnya hadir membuat laporan rasmi berkenaan skandal rasuah RM1.5 bilion dan isu skandal air Sabah tahun 2018, namun terpaksa menangguhkan laporan tersebut bagi melengkapkan beberapa dokumen penting.

“Kami akan teruskan laporan ini dalam masa terdekat selepas semua dokumen lengkap. Hari ini kami menyerahkan surat tuntutan rasmi kepada SPRM dan kerajaan negeri Sabah supaya RM315 juta wang rakyat ini dikembalikan semula,” katanya dalam sidang media di luar ibu pejabat SPRM.


Skandal RM315 Juta: Wang Rakyat Sabah ‘Hilang’ Akibat Keputusan Silap

Datuk Zulkarnain mendakwa bahawa pada tahun 2018, kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal telah menamatkan kontrak enam syarikat konsesi air yang mengendalikan 58 loji rawatan air di seluruh Sabah tanpa pelan gantian dan kajian impak yang jelas.
Akibatnya, kerajaan negeri terpaksa membayar pampasan sebanyak RM315.2 juta kepada kontraktor berkenaan.

“RM315 juta ini bukan angka kecil. Ia wang rakyat Sabah — wang yang sepatutnya digunakan untuk membina sekolah, membaiki jalan, menyediakan bekalan air bersih dan membantu rakyat luar bandar,” tegas beliau.


Tambahnya lagi, keputusan tersebut telah memberi kesan besar kepada rakyat Sabah yang kini masih berdepan masalah bekalan air teruk walaupun kerajaan baharu sedang berusaha mengaktifkan dan membina loji air baharu di seluruh negeri.

Kontraktor Baharu Tiada Pengalaman, Didakwa Ada Hubungan Politik

Lebih mengejutkan, G57 mendakwa bahawa selepas penamatan kontrak syarikat asal, kerajaan WARISAN telah melantik beberapa kontraktor baharu yang didakwa tidak berpengalaman teknikal dan mempunyai kaitan dengan pimpinan parti.

“Kalau benar dakwaan ini, ia bukan sekadar kecuaian — tetapi satu pengkhianatan terhadap amanah rakyat Sabah,” tegas Datuk Zulkarnain.


Beliau turut menjelaskan, jika wang RM315 juta itu diagihkan sama rata kepada rakyat Sabah, hampir 3 juta penduduk akan mendapat manfaat, atau jika digunakan bagi membaiki jalan kampung bernilai RM400,000 setiap kilometer, sebanyak 788 jalan kampung rosak dapat diperbaiki.

G57 Serah Surat Rasmi Kepada SPRM, Sedia Ambil Tindakan Undang-Undang

G57 telah menyerahkan salinan surat rasmi kepada SPRM dan menegaskan bahawa pihaknya akan menunggu maklum balas rasmi daripada agensi berkenaan serta pihak berkaitan. Sekiranya tiada penjelasan memuaskan, tindakan undang-undang sivil akan dipertimbangkan.

“Kami bukan datang untuk mencari publisiti, tetapi menuntut kebenaran dan mengembalikan maruah rakyat Sabah,” katanya lagi.


“Bukan Benci, Tapi Sayang Kepada Negeri Sabah”

Dalam penutup kenyataannya, Datuk Zulkarnain menegaskan perjuangan ini bukan bersifat politik tetapi berteraskan kasih dan tanggungjawab moral terhadap negeri Sabah.

“Saya tidak mahu anak-anak Sabah membesar dalam negeri yang kehilangan ratusan juta ringgit akibat kecuaian manusia bernama Shafie Apdal. RM315 juta bukan milik parti atau kerajaan, tetapi milik rakyat Sabah,” katanya tegas.


G57 komited meneruskan perjuangan agar kebenaran ditegakkan dan wang rakyat dikembalikan kepada mereka yang berhak.

#G57 #WangRakyatSabah #SkandalAirSabah #ShafieApdal #KembalikanRM315Juta #RakyatSabahBangkit #KeadilanUntukSabah #AntiRasuah #SPRM #GerakanKuasaRakyat

Leave a Reply

google.com, pub-1350607744479823, DIRECT, f08c47fec0942f