Malaysia Boleh Jadi Hab Keusahawanan ASEAN Menjelang 2030 – Agenda Suria

KUALA LUMPUR, 12 Oktober 2025 — Menteri Digital, YB Tuan Gobind Singh Deo, menegaskan bahawa teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) kini memainkan peranan besar dalam memperkasakan perniagaan kecil dan sederhana (SME) di Malaysia, sekaligus membuka pasaran yang lebih luas dan meningkatkan daya saing usahawan tempatan.

Berucap pada majlis pelancaran Program Deepavali Carnival 2025 anjuran Agenda Suria Communications, Gobind merakamkan penghargaan kepada Encik Jaggarao Simancha, Ketua Pegawai Eksekutif Agenda Suria Communications, dan pasukannya atas penganjuran program yang telah memasuki edisi ke-23 sejak mula dianjurkan pada tahun 2002.
“Kita lihat bagaimana teknologi digital telah membantu ramai peniaga kecil memperluaskan pasaran mereka. Dengan pasaran yang lebih besar, permintaan terhadap produk meningkat, dan perniagaan mereka lebih berjaya,” kata Gobind.
Beliau turut menekankan kepentingan untuk peniaga tempatan berani menggunakan teknologi baharu, terutamanya dalam era kecerdasan buatan (AI), bagi menjadikan perniagaan lebih berdaya saing dan selamat melalui aplikasi keselamatan siber.
Menurut beliau, Bajet 2026 yang dibentangkan baru-baru ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam memperkasakan sektor digital — termasuk insentif potongan cukai 50% kepada SME dan MSME yang menggunakan produk AI atau penyelesaian keselamatan siber.
“Kerajaan mahu melihat lebih banyak perniagaan kecil menggunakan teknologi baru. Kami di Kementerian Digital akan terus memberi sokongan dalam aspek ini,” tambah Gobind.
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa terdapat kerjasama antara Agenda Suria Communications, Kementerian Digital dan MDEC dalam melatih sekumpulan peniaga menggunakan teknologi terkini. Projek itu dilihat berjaya, dan akan diperluas pada tahun hadapan selepas sambutan Deepavali.
Dalam masa sama, Gobind turut menjemput orang ramai menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali Madani 2025 yang akan diadakan pada 18 Oktober ini di Brickfields, bermula jam 10 pagi hingga 2 petang, dengan kehadiran Perdana Menteri pada jam 11.30 pagi.
“Saya harap semua dapat hadir dan meraikan Deepavali bersama-sama dalam semangat Malaysia Madani,” katanya.

Sementara itu, Encik Jaggarao Simancha, CEO Agenda Suria Communications, berkata Deepavali Carnival yang dianjurkan syarikatnya kini diiktiraf antara karnival Deepavali terbesar di dunia di luar India, bahkan mengatasi penganjuran di Singapura dan Dubai.
“Sejak 2018, kita telah mula mendigitalisasikan acara ini dan kini hampir semua transaksi adalah tanpa tunai (cashless). AI pula bakal menjadi senjata utama untuk melonjakkan daya saing usahawan tempatan,” jelas Jaggarao.
Beliau turut menyasarkan agar Malaysia menjadi hab digital dan keusahawanan India-ASEAN menjelang tahun 2030, dengan matlamat melahirkan sekitar 100,000 usahawan India tempatan melalui latihan, roadshow dan penggunaan teknologi AI.
“Dengan bimbingan kerajaan dan latihan AI yang menyeluruh, saya yakin kita boleh menjadikan Malaysia sebagai pusat keusahawanan serantau,” katanya.
Majlis yang penuh warna-warni itu dijangka menarik ribuan pengunjung ke Brickfields bagi meraikan sambutan Deepavali Madani bersama pemimpin negara, disertai pelbagai pameran teknologi, persembahan kebudayaan, dan promosi jualan khas oleh peniaga tempatan.
#DeepavaliMadani2025b#DigitalMalaysiab#GobindSinghDeo #AgendaSuria #AIuntukRakyat #SMEDigital #MalaysiaDigitalNation #BrickfieldsDeepavali #UsahawanMuda #TechForAll