Rasuah USD1,000 Untuk Pulang Ke Malaysia ? – MHO Jadi Penyelamat Wira Tanpa Uniform

SEPANG, 13 Oktober 2025 – Tiga rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Kemboja akhirnya pulang ke tanah air selepas melalui detik mencemaskan selama beberapa bulan di negara tersebut. Kepulangan mereka disambut penuh emosi oleh aktivis pertubuhan Malaysia Humanitarian Organisation (MHO) bersama keluarga masing-masing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) hari ini.
Aktivis MHO, Encik Izzat, berkata misi menyelamat ini membuktikan komitmen pihaknya dalam membantu rakyat Malaysia yang terperangkap di luar negara akibat sindiket penipuan tawaran kerja palsu.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada hero kita, saudara Azirul Shafiq, yang banyak membantu tetapi tidak dapat hadir hari ini, serta pihak Kedutaan Malaysia di Kemboja, pasukan keselamatan PDRM dan semua aktivis MHO yang turun padang — termasuk Mr. Andrew, Asep, Rak, Mr. Colin dan Daniel,” ujar Izzat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan media yang konsisten menyiarkan laporan dan membantu menyebarkan kesedaran tentang isu pemerdagangan manusia.
Sementara itu, aktivis MHO, Andrew Foo, mendedahkan bahawa tiga mangsa berkenaan terpaksa menunggu lama untuk dibebaskan berikutan masalah rasuah di pihak imigresen Siem Reap.
“Dua mangsa sebelum ini sudah pulang minggu lepas. Tetapi tiga lagi hanya dibenarkan pulang hari ini kerana pegawai imigresen di sana minta rasuah sebanyak USD1,000 setiap seorang untuk mempercepatkan proses,” katanya dengan nada tegas.
Menurutnya, kesemua lima mangsa tersebut pada awalnya dijanjikan kerja sebagai penterjemah (translator) di Kemboja, namun sebaik tiba, mereka diserahkan kepada sindiket penipuan dalam operasi ‘scam compound’ yang memperdaya ramai rakyat Malaysia.
Seorang daripada mangsa, David, berkongsi pengalaman hitamnya apabila mereka diperdaya oleh seorang individu warga China yang dikenalinya di Malaysia.
“Dia ajak kami pergi kerja di kasino, kononnya jadi supervisor sebab boleh cakap banyak bahasa. Tapi bila sampai, kami terus dihantar ke dalam ‘kompao’ dan tak dibenarkan keluar. Bila kami nak balik, mereka ugut akan bunuh kami,” katanya sebak.
David berkata, mereka ditahan selama lima bulan di sana, termasuk sebulan di lokap polis sebelum dipindahkan ke imigresen Siem Reap.
“Mereka minta duit untuk lepaskan kami, tapi MHO nasihat jangan bayar. Akhirnya selepas seminggu tertangguh, kami berjaya balik juga,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada MHO yang memberi panduan dan sokongan moral sepanjang proses penyelamatan.
“Kami sangat bersyukur kepada MHO kerana merekalah yang banyak bantu kami dari jauh dan bagi semangat untuk bertahan. Tanpa mereka, mungkin kami tak akan pulang ke Malaysia hari ini,” tambahnya.
MHO menegaskan bahawa usaha membanteras pemerdagangan manusia tidak boleh hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata, tetapi memerlukan kerjasama semua pihak termasuk keluarga, media, dan masyarakat awam.
“Kes seperti ini semakin berleluasa. Ramai rakyat Malaysia masih diperdaya dengan tawaran kerja di luar negara. Kami seru semua pihak lebih berhati-hati dan semak latar belakang tawaran sebelum berangkat,” tegas Andrew Foo.
#MHO #PemerdaganganManusia #ScamCambodian#WiraTanpaUniform #RakyatMalaysia #MisiKemanusiaan #SelamatkanMangsa #AktivisMalaysia #BebasDariKompao #BersatuTolakRasuah