Usahawan Papa Kedana: RM4 Juta Lesap Gara-Gara Skim “Gold Coin” Sindiket Palsu

KUALA LUMPUR, 14 Oktober 2025 – Seorang usahawan, Encik Subramaniam a/l Palani, kini hidup merana selepas diperdaya sindiket pelaburan palsu yang didalangi beberapa individu termasuk seorang wanita dikenali sebagai Manimangalam dan seorang lelaki bernama Vijayaganesh. Mangsa dilaporkan mengalami kerugian mencecah lebih RM4 juta hasil pelaburan “gold coin” yang kononnya telah “direstu” seorang sami.

Dalam sidang media hari ini, aktivis sosial, Dato’ Dr. Kalaivanar dari Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, mendedahkan pihaknya telah menyerahkan satu memorandum kepada wakil Ketua Polis Negara melalui Bahagian Urus Setia KPN Komunikasi Korporat, Bukit Aman, ASP Viswamalar. Memorandum itu menuntut agar pihak polis segera bertindak terhadap sindiket terbabit yang didakwa masih bebas tanpa sebarang tangkapan walaupun laporan polis telah dibuat sejak September 2024.
Menurut Kalaivanar, modus operandi sindiket ini bukan sahaja memperdaya mangsa melalui pujukan manis, malah turut menggunakan unsur kepercayaan agama dengan mendakwa emas yang dilaburkan telah dipuja oleh seorang sami. “Mereka gunakan helah kononnya pelaburan ini akan membawa kekayaan berganda. Hakikatnya, mangsa kini papa kedana, kehilangan wang simpanan KWSP, aset perniagaan termasuk bas, lori dan kenderaan mewah, serta berdepan masalah keluarga,” katanya.
Mangsa, Encik Subramaniam, yang sebelum ini memiliki lebih 60 buah bas dan pelbagai aset perniagaan, kini hilang hampir semua hartanya termasuk terpaksa menjual rumah, emas milik keluarga, dan kenderaan peribadi. Lebih malang, beliau mendakwa turut menerima ugutan daripada sindiket yang memperdayakannya.
Kalaivanar turut melahirkan kekecewaan terhadap kelewatan siasatan. “Polis kita antara yang terbaik di rantau Asia, tetapi mengapa selepas lebih setahun masih belum ada tangkapan? Jika tindakan segera tidak diambil, pelaku mungkin sudah melarikan diri ke luar negara,” tegas beliau.
Pihaknya menggesa Ketua Polis Negara untuk segera mengambil langkah tegas termasuk merampas pasport suspek, menjalankan tangkapan dan membawa mereka ke muka pengadilan. “Ini bukan soal seorang mangsa sahaja. Saya percaya ramai lagi yang menjadi mangsa namun tidak tampil ke hadapan kerana takut atau malu. Kita mahu hentikan sindiket-sindiket seperti ini daripada terus menjerat rakyat dengan janji cepat kaya,” ujar beliau.
Kes ini sekali lagi membuka mata masyarakat tentang bahayanya skim cepat kaya yang sering menyasarkan golongan peniaga serta warga emas. Kalaivanar mengingatkan orang ramai agar berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan helah pelaburan yang menjanjikan keuntungan luar biasa.
#SkimCepatKaya #SindiketPenipuan #GoldCoinScam #PolisMalaysia #BahanaKesetiaanNegara #KenaScam #MangsaPenipuan #KeadilanUntukMangsa #HapusSindiket #BeraniKeranaBenar