AI, Dron & Kamera Pintar Gantikan Pengawal – Revolusi Baharu Keselamatan Islamik Bermula!
KUALA LUMPUR, 14 Oktober 2025 — Kerjasama rentas sempadan antara Fortitude Security Consultancy dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membuka lembaran baharu dalam dunia keselamatan serantau apabila kedua-dua pihak menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang bertujuan memperkukuh bidang sekuriti berteraskan teknologi moden dan prinsip patuh syariah.

Majlis tandatangan MoU ini turut disaksikan oleh aktivis pengguna, Nadzim Johan (Toqqi), dan CEO Fortitude Security Consultancy, Muhammad Azhad bin Muhammad Sharif, di mana kedua-dua pihak berikrar untuk memperkukuh hubungan strategik antara Malaysia dan Singapura dalam bidang keselamatan fizikal serta siber.



Menurut Muhammad Azhad, kerjasama ini bukan sekadar melibatkan pemindahan teknologi, tetapi juga perkongsian kepakaran dan nilai Islam dalam pengurusan keselamatan.
“Kami ingin menggabungkan kekuatan dua negara dalam mempertingkatkan mutu sekuriti. Melalui MoU ini, kami bukan sekadar menjual teknologi, tetapi berkongsi khidmat — ‘share services’ — agar manfaat keselamatan dapat dinikmati bersama,” jelasnya.
Beliau turut memperkenalkan sistem keselamatan terkini seperti remote monitoring, penggunaan dron, serta sistem kecerdasan buatan (AI) yang mampu mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga manusia tanpa menjejaskan keberkesanan pemantauan keselamatan.
“Teknologi ini membolehkan dua orang operator memantau puluhan lokasi secara serentak, dengan sistem kamera pintar dan ‘intuition system’ yang boleh terus melapor kepada pihak polis jika berlaku pencerobohan,” katanya lagi.
Sementara itu, Ustaz selaku Penasihat Fortitude menjelaskan bahawa syarikat berkenaan merupakan antara yang pertama di rantau ini menggabungkan elemen patuh syariah dalam pengurusan keselamatan.
“Kami memilih PPIM kerana mereka amat peka terhadap keselamatan masyarakat. Fortitude juga kini menjalankan MoU dengan pelbagai NGO Islam di Indonesia dan bakal ke Phnom Penh untuk memperluaskan jaringan,” jelasnya.
Menurut beliau, MoU ini hanyalah langkah pertama sebelum dijalin Memorandum of Agreement (MoA) yang akan memperincikan pertukaran teknologi dan latihan pakar antara organisasi Islam serantau.

Aktivis PPIM, Nadzim Johan, dalam ucapannya menegaskan bahawa aspek keselamatan kini bukan lagi kemewahan, tetapi keperluan asas setiap keluarga dan perniagaan.
“Kadang-kadang orang ada duit, tapi tak boleh tidur malam sebab risau keselamatan rumah dan anak-anak. Dengan teknologi seperti kamera pintar dan sistem amaran automatik, sekurang-kurangnya kita boleh tidur dengan lebih tenang,” katanya.
Tambahnya lagi, kerjasama strategik ini menjadi satu inisiatif awal PPIM dalam menggalakkan penggunaan teknologi keselamatan Islamik yang efisien, mampu milik dan diyakini.
Dengan peralihan global ke arah kecerdasan buatan, Fortitude Security menegaskan bahawa mereka tidak mengabaikan manusia, sebaliknya meningkatkan kemahiran pekerja untuk beradaptasi dengan AI dan teknologi moden.
“Kami mahu jadikan sekuriti sebagai kerjaya profesional yang berprestij — berilmu, berkemahiran dan beretika,” ujar Azhad.
Kerjasama antara PPIM dan Fortitude dilihat sebagai permulaan era baharu keselamatan umat Islam serantau, di mana teknologi dan nilai Islam bergabung demi kesejahteraan masyarakat.
#FortitudeSecurity #PPIM #KeselamatanIslamik #TeknologiAI #DronKeselamatan #MOUFortitudePPIM #MalaysiaSingapura #SmartSecurity #SyariahCompliant #SelamatBersamaFortitude