KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr. Azam Rauzan menegaskan bahawa isu berkaitan Rang Undang-Undang URA (Undang-Undang Kerajaan Tempatan) membuktikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) masih mempunyai peranan penting dalam landskap politik negara.
Menurut beliau, meskipun UMNO mengalami penolakan besar pada PRU14 dan PRU15, peranan parti itu dalam menangani isu URA jelas menunjukkan BN masih relevan serta menjadi penentu hala tuju kerajaan hari ini.
“RUU URA ini apabila timbul masalah, siapa yang jadi penentu? Bukan PN yang hanya menyalak di tengah jalan, tetapi UMNO yang bertindak matang dan bertamadun. Inilah bukti BN masih relevan,” katanya.
Dr. Azam turut mengucapkan tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani, kerana berjaya memainkan peranan penting dalam memastikan isu URA ditangani dengan baik.
Beliau menegaskan, rakyat Malaysia tanpa mengira kaum perlu mengakui jasa UMNO dan BN dalam mempertahankan kesejahteraan negara.
“Harus berterima kasih pada UMNO, Zahid Hamidi, dan Johari Ghani kerana mereka telah menyelamatkan situasi ini,” katanya.
Mengulas isu tuntutan portfolio kerajaan tempatan, Dr. Azam menyuarakan kebimbangan mengenai kedudukan orang Melayu dalam pembangunan bandar.
“Apabila DAP menguasai kerajaan tempatan, ia akan memberi kesan besar pada demografi Melayu. Lihat sahaja Pulau Pinang – orang Melayu makin terpinggir apabila kampung ditukar menjadi kondo, tetapi jumlah keluarga Melayu kekal kecil,” jelas beliau.
Dr. Azam optimis bahawa UMNO dan BN masih mempunyai peluang untuk bangkit semula dalam pilihan raya akan datang.
“Ada peluang lagi pada PRU16, PRN Johor, PRN Sabah, dan PRN Melaka untuk mengembalikan BN sebagai tunjang kerajaan negeri dan kerajaan pusat,” tegasnya.
#UMNO #BarisanNasional #URA #PolitikMalaysia #ZahidHamidi #JohariGhani #PRU16 #PRNSabah #PRNJohor #PRNMelaka