Dulu Cetak Bajet & Kertas Undi, Kini Ditinggal Sepi – Dato’ Dr Kalaivanar Minta PM Anwar Tampil Bela Mereka

KUALA LUMPUR, 16 Oktober 2025 – Satu lagi lembaran sejarah perjuangan rakyat tercipta hari ini apabila Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (BKN) tampil menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan, bagi membela nasib lebih 1,200 bekas kakitangan Jabatan Percetakan Negara yang berdepan ketidakadilan sejak lebih tiga dekad lalu.

Diketuai oleh Dato’ Dr. Kalaivanar, aktivis sosial dan wakil Sekretariat BKN, bersama Encik Mohd Yassin Abdul Aziz, Pengerusi Persatuan Bekas Pesara Percetakan Negara, kumpulan ini berarak ke Bangunan Parlimen Malaysia bagi menyerahkan memorandum penuh rintihan dan harapan pesara yang dahulunya memainkan peranan penting dalam sejarah pentadbiran negara.

“Mereka inilah wira senyap negara yang menjaga rahsia kerajaan — daripada penyediaan bajet tahunan sehinggalah kertas undi pilihan raya. Namun kini, setelah berkhidmat dengan penuh amanah, mereka hanya menerima pencen yang amat kecil,” tegas Dato’ Dr. Kalaivanar.

Menurut beliau, isu ini timbul selepas Percetakan Negara Malaysia Berhad (PNMB) diswastakan pada tahun 2015 dan diambil alih oleh Sutra Bakti Sdn. Bhd.. Dalam proses tersebut, saham yang dijanjikan kepada para pekerja di bawah skim asal kerajaan didakwa hanya diberikan kepada pekerja baharu selepas penswastaan, meninggalkan pesara lama tanpa sebarang imbuhan walaupun telah dijanjikan oleh kerajaan terdahulu sejak tahun 1993.

Encik Mohd Yassin dalam kenyataannya menjelaskan bahawa mereka telah berulang kali menulis surat dan mengadakan pertemuan dengan pihak Kementerian Kewangan, namun sehingga kini tiada sebarang maklum balas konkrit diterima.

“Kami ini sudah uzur, ada yang berumur lebih 80 tahun. Kami bukan menuntut kekayaan, kami hanya mahu keadilan untuk hak yang telah dijanjikan. Sekurang-kurangnya biarlah kami menghembuskan nafas terakhir dengan tenang,” ujarnya sebak.

Memorandum yang diserahkan hari ini turut mengandungi permohonan agar kerajaan menilai semula hak pembahagian saham dan pencen para pesara PNMB yang telah terlepas daripada manfaat asal ketika proses korporatisasi dan penswastaan dijalankan.

Dato’ Dr. Kalaivanar menegaskan bahawa perjuangan ini bukan bersifat politik, sebaliknya berpaksikan kesetiaan kepada Raja dan Negara.

“Kami tidak kisah siapa pemerintah. Yang penting rakyat terbela. Mereka telah berkhidmat menjaga dokumen rahsia negara — termasuk kertas undi pilihan raya dan bajet negara — tetapi kini mereka dilupakan. Ini bukan soal parti, ini soal maruah dan keadilan,” katanya.

Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara turut menyeru semua ahli Parlimen tanpa mengira parti agar bersuara bagi membela hak pesara-pesara tersebut, yang kini rata-rata hidup dalam kesempitan dan keuzuran.

“Kita sering melaungkan keadilan untuk rakyat di Gaza, tetapi bagaimana dengan rakyat kita sendiri yang berjuang demi negara dan kini dilupakan? Ini masa untuk kerajaan membuktikan bahawa slogan Malaysia Madani benar-benar mengangkat nilai kemanusiaan,” tambah Dato’ Dr. Kalaivanar.

Perhimpunan aman itu berakhir dengan laungan “Salam Negaraku, Salam Solidariti!” — simbol semangat perjuangan wira-wira lama yang masih berharap agar keadilan mereka akhirnya terbela.

#BahanaKesetiaanNegarab #KeadilanUntukPesara #WiraSenyapNegara #PercetakanNegara #SuaraRakyatDiParlimen

Leave a Reply