SERI KEMBANGAN – Kemeriahan Airasia Hausboom Festival 2025 terus memuncak apabila ribuan pengunjung membanjiri hari kedua festival yang berlangsung di MAEPS Serdang, Selangor.
Kehadiran barisan artis terkenal tanah air dan serantau menjadikan suasana lebih hangat dan penuh dengan sorakan peminat yang tidak putus-putus memberikan sokongan.

Pentas hari kedua menyaksikan kehebatan beberapa nama besar dalam industri muzik seperti Bernadya, penyanyi indie pop dari Indonesia yang mencuri perhatian ramai, serta bintang meningkat naik, Ghea Indrawari, yang tampil dengan persembahan memukau.
Tidak kurang hebatnya, kumpulan tempatan Gerhana Ska Cinta tampil dengan irama ska yang menghiburkan, menambah variasi muzik yang ditawarkan kepada penonton.

Kemunculan Datuk Jamal Abdillah, legenda muzik tanah air, menjadi detik yang paling dinanti-nantikan. Suara emas beliau masih mampu mengusik emosi peminat, membuktikan bahawa aura seorang lagenda tidak pernah pudar.
Festival ini turut digamatkan dengan persembahan penuh tenaga daripada kumpulan rock popular Bunkface, yang berjaya menghidupkan pentas dengan lagu-lagu hits mereka.

Festival ini bukan sekadar pesta muzik semata-mata, malah menjadi medan interaksi sosial, gaya hidup dan budaya moden anak muda.
Dengan penglibatan pelbagai vendor tempatan, trak makanan, zon interaktif dan kolaborasi bersama jenama-jenama tempatan, suasana festival menjadi lebih hidup dan pelbagai.

Airasia Hausboom Festival, yang diterajui oleh kerjasama strategik antara AirAsia dan Hausboom, kini dikenali sebagai antara festival hiburan terbesar di Malaysia.
Setiap tahun, acara ini menjadi tarikan utama kepada pencinta muzik dan penggiat industri kreatif yang ingin menikmati persembahan live dalam suasana terbuka dan santai.
Hari kedua festival ini berjaya mencipta satu lagi detik bersejarah dalam kalendar hiburan tempatan, sekaligus menunjukkan potensi besar festival seperti ini dalam menyumbang kepada pertumbuhan sektor pelancongan domestik dan ekonomi kreatif negara.