KUALA LUMPUR, 18 Oktober 2025 – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menyuarakan kekecewaan terhadap Bajet 2026 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Oktober lalu kerana didakwa gagal memberi penekanan khusus kepada Agenda Memperkasa Ekonomi Bumiputera (AMEB).
Naib Presiden PUTRA, Dato’ Asmawar Samat, berkata persoalan mengenai AMEB ini telah dibangkitkan sejak sebelum Bajet 2025, namun kini memasuki tahun kedua ia terus diabaikan.
“Kaum Melayu dan Bumiputera tidak boleh lagi hanya bergantung kepada kuasa politik semata-mata. Selepas PRU-15, kuasa politik mereka telah terbahagi, manakala suara lantang suatu ketika dahulu kini lunak bersama Agenda Ekonomi Madani yang lebih sinonim dengan konsep ‘Malaysian Malaysia’ yang diperjuangkan DAP,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa realiti ekonomi semasa jelas menunjukkan majoriti Bumiputera, khususnya di luar bandar, masih tertekan dengan kenaikan kos sara hidup. Rasionalisasi subsidi yang dilaksanakan kerajaan dilihat tidak mengurangkan beban kerana harga barang asas tetap meningkat.
“STR berjumlah RM100 dan subsidi RON95 sebanyak 300 liter hanya ibarat menarik nafas sekali tetapi batuk berkali-kali. Ia bukanlah penyelesaian jangka panjang untuk memperkasa ekonomi Bumiputera,” ujarnya lagi.
Selain itu, PUTRA juga menggesa kerajaan meningkatkan latihan berasaskan Capital Intensive bagi anak muda tempatan agar mereka mampu bersaing dalam sektor berteknologi tinggi.
“Masih ramai belia Melayu dan Bumiputera berumur 30 tahun ke atas yang menganggur. Mereka perlukan bimbingan dan peluang, bukan sekadar janji kosong,” katanya.
Menyentuh soal pendidikan tinggi, Dato’ Asmawar menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan pelajar luar negara, khususnya dari China, di universiti tempatan. Beliau menegaskan agar kerajaan lebih sensitif dan tidak membiarkan institusi pengajian tinggi tempatan tercemar akibat kepentingan sindiket tertentu.
Bagi menangani isu tersebut, PUTRA mencadangkan tiga langkah:
Mengekalkan universiti awam dengan kuota 80% pelajar tempatan dan 20% antarabangsa.
Menubuhkan universiti swasta khas untuk pelajar luar negara dengan nisbah 60:40.
Menubuhkan universiti khas memperkasa ekonomi Melayu & Bumiputera dengan 80% kemasukan anak tempatan.
“PUTRA percaya, Bajet 2026 tidak banyak beza dengan Bajet Madani sejak 2023 – penuh gula-gula politik tetapi tidak vital untuk mengangkat martabat Bumiputera. Sudah tiba masanya kita bangkit, berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, dan bergerak seiring dengan bangsa maju di persada dunia,” tegasnya.
#Bajet2026 #AgendaBumiputera #PUTRABersuara #EkonomiMadani #MelayuBangkit #KeadilanEkonomi #KosSaraHidup #BeliaMenganggur #SuaraRakyat #BangkitBumiputera