KUALA LUMPUR, 18 Oktober 2025 – “Doktor pun manusia, bukan robot,” tegas Dr. Wan Julia Sham Bt Dato’ Ariffin ketika mendedahkan pengalaman pahit beliau bekerja sehingga 36 jam tanpa tidur semasa bertugas sebagai houseman di Hospital Kuala Lumpur (GHKL).
Menurut beliau, krisis doktor muda semakin meruncing kerana sistem kesihatan negara gagal menjaga kebajikan golongan profesional perubatan. Situasi ini menyebabkan ramai doktor memilih untuk berhenti lebih awal atau berhijrah ke luar negara.
“Untuk hasilkan seorang doktor yang baik, memerlukan masa 5 hingga 10 tahun. Kalau mereka lari ke negeri orang, siapa yang akan tinggal di Malaysia?” katanya.
Beliau menegaskan bahawa sekiranya rakyat Malaysia sendiri tidak berminat menjadi doktor, negara terpaksa mengimport tenaga kerja dari luar seperti India atau Bangladesh, yang mungkin tidak setanding kualiti doktor tempatan.
Krisis ini tambah parah apabila golongan muda kini lebih memilih kerjaya lain yang menawarkan pulangan lebih lumayan seperti menjadi influencer berbanding kerjaya doktor yang penuh risiko dan tekanan.
“Sekali doktor buat silap, dia kena saman, habis karier dia. Sedangkan seorang influencer duduk rumah pun boleh lebih kaya,” jelasnya.
Dr. Wan Julia turut menggesa kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan (KPM), melakukan paradigm shift dengan memansuhkan akta lama, memperbaharui undang-undang serta meningkatkan kadar bayaran konsultasi doktor yang telah berpuluh tahun tidak dikaji semula.
“Consultation fee RM10 hingga RM35 untuk doktor sudah 40 tahun tidak berubah. Malu. Kalau benda kecil pun tak boleh urus, macam mana nak jaga kesihatan negara?” katanya.
Beliau memberi amaran, tanpa tindakan segera, masa depan perubatan negara bakal kelam apabila kekurangan doktor pakar menyukarkan rakyat mendapatkan rawatan berkualiti dengan harga berpatutan.
#KrisisDoktor #SelamatkanDoktor #KesihatanNegara #DoktorMalaysia #KKMBangkit #ReformasiKesihatan #ParadigmShift #NasibHouseman #MasaDepanPerubatan #BebanDoktor