KUALA LUMPUR, 19 Oktober 2025 – Masalah Ahlong bukan isu baru, tetapi kini semakin meruncing apabila sindiket pinjaman tanpa lesen ini mula beroperasi secara fizikal dan juga dalam talian. Menurut Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Malaysia (MHO), Dato’ Hishamuddin Hashim, kelemahan dalam tindakan penguatkuasaan serta kekeliruan masyarakat tentang “bayar modal” menjadi punca ramai mangsa terus terjerat.
Beliau menegaskan bahawa banyak agensi penguatkuasaan masih memberi tanggapan salah dengan menyuruh mangsa “dah pinjam, bayarlah”, sedangkan pinjaman yang ditawarkan Ahlong adalah tidak sah.
“Kesalahan berlaku bukan ketika mangsa dipukul, rumah dibaling cat atau diculik, tetapi sejak pemberi pinjam tidak berlesen itu menghulurkan wang. Ia adalah jenayah besar yang boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun dan denda sehingga RM1 juta,” katanya.
Menurutnya, istilah “bayar balik modal” juga sering dimanipulasi Ahlong. Mangsa biasanya hanya menerima sebahagian kecil wang pinjaman pertama, manakala pinjaman seterusnya hanyalah kitaran penipuan yang beliau gelar sebagai “modal palsu”. Dari pinjaman asal RM700, jumlah hutang boleh meningkat hingga puluhan ribu ringgit akibat manipulasi berulang.
Dato’ Hishamuddin menegaskan, langkah terbaik adalah berhenti membayar Ahlong dan segera membuat laporan polis. Malah, pihak yang menyuruh mangsa membayar balik kepada Ahlong juga boleh disiasat di bawah Seksyen 107 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dengan jenayah.
Beliau menyeru agar sindiket Ahlong diklasifikasikan sebagai jenayah terancang, setara dengan sindiket besar lain, di bawah Seksyen 130V dan 130W Kanun Keseksaan serta menggunakan Akta Pencegahan Jenayah (POCA).
“Sudah sampai masanya jerung besar sindiket Ahlong ditangkap dan didakwa, bukan sekadar ikan bilis. Penguatkuasaan mesti lebih ketat dan menyeluruh,” tegasnya.
MHO juga mendesak agar semua pembuat dasar (policy maker) lebih dinamik dalam menangani isu Ahlong moden yang kini beralih ke platform digital.

Bagi mangsa yang berdepan masalah pinjaman Ahlong atau ingin mendapatkan nasihat serta bantuan undang-undang, anda boleh menghubungi pihak kami untuk tindakan lanjut.
Hotline MHO: 011 3789 1766
E-mel: edisi.aduanrakyat@gmail.com
Kami sedia membantu anda melawan Ahlong dan mendapatkan keadilan yang sepatutnya. Jangan takut, jangan bayar Ahlong. Ambil tindakan undang-undang!
#AntiAhlong #JanganBayarAhlong #SindiketJenayah #MangsaAhlong #KeadilanUntukMangsa #UndangUndangTegas #HapusAhlong #StopLoanShark #POCA #MHO