KUALA LUMPUR, 18 Oktober 2025 – Seorang doktor perubatan, Dr. Wan Julia Sham Bt Dato’ Ariffin, meluahkan kebimbangan mendalam terhadap peningkatan kes buli dalam kalangan pelajar sekolah yang kini semakin membimbangkan dan meragut nyawa.

Menurut beliau, isu ini bukan sekadar masalah disiplin, tetapi cerminan kepada kegagalan sistem pendidikan dan kelemahan masyarakat dalam membentuk sahsiah anak-anak muda.

“Saya memang rasa gusar dengan kes-kes baru-baru ini. Anak-anak kita boleh kena buli, cucu kita boleh kena buli, lepas tu boleh dirogol atau akhirnya mati. Ini bukan perkara kecil,” katanya dengan nada tegas.

Dr. Wan Julia menegaskan bahawa sistem pendidikan negara perlu dirombak dan diperkasakan semula kerana pendekatan semasa tidak lagi sesuai dengan realiti dunia moden yang didorong oleh teknologi.

“Zaman saya belajar tak sama dengan zaman anak cucu saya. Kita salah di mana? Teknologi sepatutnya bantu, bukan musnahkan masa depan anak-anak kita,” ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa pelajar hari ini tidak bijak menggunakan teknologi sedangkan Malaysia mempunyai ramai pakar dan pendidik berkaliber.

“Kita bukan kurang guru hebat, tapi mengapa kita gagal? Kerana kita sudah hilang sifat kemanusiaan,” tambahnya.

Seru Kerajaan Hidupkan Semula PLKN

Dr. Wan Julia turut mencadangkan agar kerajaan mengembalikan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), khususnya untuk pelajar lelaki bagi membentuk disiplin, kekuatan fizikal dan spiritual.

“Kalau kita lihat Korea, mereka ambil masa dua tahun. Kita dulu dua atau tiga bulan – tak cukup untuk ubah sikap. Kita tak perlu ramai, tapi biarlah yang terbaik,” jelasnya.

Beliau menegaskan, fokus pendidikan haruslah seimbang antara aspek fizikal, emosi dan spiritual agar pelajar lebih kuat dan berdaya saing sebelum melangkah ke universiti.

Pendidikan dan Kesihatan: Dua Tiang Negara

Mengakhiri kenyataannya, Dr. Wan Julia menegaskan bahawa negara akan hancur jika dua perkara asas – pendidikan dan kesihatan – gagal dijaga.

“Saya seorang doktor, saya tahu. Kalau kita tak sihat, kita tak pandai, negara akan hancur. Ini krisis sebenar,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia agar lebih bijak dalam memilih wakil rakyat pada pilihan raya akan datang — bukan sekadar berdasarkan parti, tetapi kepada kemampuan calon untuk benar-benar mewakili rakyat.

“Kita nak wakil rakyat yang terhebat, bukan yang mewakili parti. Pemimpin ialah cermin kepada rakyat,” katanya.

#IsuBuliSekolah #ReformasiPendidikan #AnakKitaTanggungjawabKita #DrWanJuliaBersuara #SelamatkanGenerasiMuda #PLKNKembali #DidikDenganNilai #StopBuli #MindaDanHatiSeimbang #BangunkanBangsaDenganIlmu

Leave a Reply