PUTRAJAYA, 22 Oktober 2025 — Perbicaraan akhir kes pembelaan Dato’ Sri Najib Razak dalam kes 1MDB hari ini berlangsung penuh dramatik apabila pasukan peguam bela diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membangkitkan hujahan penting yang boleh memberi kesan besar kepada keseluruhan pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Antara isu utama yang diperjuangkan ialah isu “kependuaan pertuduhan” (duplicity of charges) — satu hujahan teknikal tetapi kritikal dalam undang-undang jenayah. Menurut peguam Dato’ Sri Najib, kertas pertuduhan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan menggabungkan pelbagai kesalahan dalam satu pertuduhan, sekali gus menjadikannya tidak sah di sisi undang-undang.

Seksyen 163 Kanun Acara Jenayah secara jelas menyatakan bahawa setiap pertuduhan hanya boleh mengandungi satu kesalahan sahaja. Namun, dalam kes 1MDB, hujahan pembelaan mendakwa bahawa satu pertuduhan terhadap Najib mengandungi sehingga lima tarikh, empat lokasi, tiga jawatan, dan lima kesalahan berbeza.

Tan Sri Shafee turut mengemukakan satu jadual terperinci yang menunjukkan pertuduhan-pertuduhan terhadap Najib didakwa menggabungkan elemen-elemen berlainan — sesuatu yang menurutnya “antara yang paling buruk pernah beliau lihat” dalam kerjaya guamannya.

Beliau turut mengaitkan contoh beberapa kes terdahulu yang pernah diketepikan oleh mahkamah akibat isu kependuaan, termasuk kes Jagar Singh (1936), kes Sam Ke Ting (Basikal Lajak), serta kes Ravindran lwn Pendakwa Raya di peringkat Mahkamah Persekutuan.

Menurut peguam Dato’ Sri Najib, kekeliruan timbul apabila pihak pendakwaan menyatakan bahawa kesalahan berlaku di AmBank Jalan Raja Chulan — lokasi di mana Najib sendiri tidak pernah hadir secara fizikal. Ini menimbulkan persoalan sama ada pertuduhan itu sebenarnya berkait dengan penyalahgunaan kuasa (Seksyen 23) atau penerimaan suapan (Seksyen 16) di bawah Akta SPRM.

“Dalam keadaan seperti ini, tertuduh tidak tahu dengan jelas kesalahan apa yang beliau perlu bela diri,” hujah pihak pembela.

Jika mahkamah menerima hujahan berhubung kependuaan ini, semua pertuduhan terhadap Dato’ Sri Najib di bawah Seksyen 23 berpotensi terbatal secara automatik — sekali gus membuka ruang kepada pembebasan penuh bekas Perdana Menteri itu.

Hujahan pembelaan dijangka diteruskan esok dengan fokus kepada aspek perundangan lain berkaitan integriti pertuduhan dan keadilan kepada tertuduh.

“Isu ini bukan sekadar teknikal, tetapi melibatkan prinsip keadilan asas dalam undang-undang jenayah,” kata Dato’ Hasnal Rezua Merican yang menterjemahkan hujahan hari ini kepada orang ramai dalam bahasa mudah.


#NajibRazak #Kes1MDB #ShafeeAbdullah #MahkamahPutrajaya #DuplicityOfCharges #IsuPerundangan #KeadilanUntukNajib #HujahanPembelaan #PolitikMalaysia #1MDBTrial

Leave a Reply