KUALA LUMPUR – Jenama fesyen terkemuka Malaysia, Rizman Ruzaini, memulakan tirai Hari Raya 2026 dengan pelancaran dua koleksi istimewa dalam sebuah pertunjukan fesyen eksklusif sempena sambutan ulang tahun ke-20 jenama itu, yang berlangsung secara intim di Maison Rizman Ruzaini, Shangri-La Kuala Lumpur.

Acara itu menghimpunkan kira-kira 100 tetamu jemputan terdiri daripada pelanggan setia, rakan selebriti terdekat serta wakil media, sekali gus menawarkan pandangan pertama terhadap dua koleksi yang mencerminkan jiwa dwi-identiti Rizman Ruzaini hari ini, iaitu couture dan siap pakai, penceritaan dan kemodenan, tradisi dan pembaharuan.

Berbeza daripada persembahan pentas peragaan konvensional, pelancaran ini disusun sebagai sebuah pengenalan reflektif yang menandakan kesinambungan perjalanan kreatif selama dua dekad, berteraskan ketukangan halus serta kebanggaan terhadap budaya, yang kekal menjadi teras identiti jenama fesyen itu.

Tumpuan utama persembahan adalah koleksi couture The Hikayat of Ratna, Koleksi Khas Musim Bunga Panas 2026 yang menampilkan 20 rekaan eksklusif.

Koleksi ini diinspirasikan daripada sebuah hikayat asli yang ditulis oleh pengasas bersama, Ruzaini Jamil, dengan mengambil ilham daripada tradisi sastera Melayu klasik.

Naratif yang dicipta menggabungkan warisan Melayu dan pengaruh Arab, diperkaya dengan elemen perjalanan, simbolisme spiritual serta sejarah yang saling berkait.

Berlatarbelakangkan sebuah kerajaan pesisir di Selat Melaka, hikayat ini berkembang melalui watak-watak yang dipacu oleh keimanan, pengabdian, kecemburuan dan ketabahan.

Watak utama seperti Puteri Ratna Bulan, yang digambarkan dengan kehadiran seumpama cahaya bulan melambangkan kejernihan dan keanggunan dalaman, serta Zayd al-Bahr, seorang pelayar yang berpandukan kepercayaan lebih daripada kepastian, diterjemahkan ke dalam bentuk siluet, fabrik dan perincian rekaan.

Elemen busana istiadat Melayu seperti baju kurung, kebaya, baju sikap, songket, tengkolok dan cucuk sanggul digabungkan dengan siluet Arab termasuk jubah dan abaya, menghasilkan keseimbangan estetika yang kaya dan berlapis.

Motif fasa bulan, gerhana, bintang, flora dan elemen maritim diolah melalui sulaman halus, perincian tambour serta tekstur tenunan bercahaya.

Pemilihan material turut memainkan peranan penting dalam penceritaan koleksi ini.

Fabrik ringan seperti chiffon, voile dan georgette mencipta gerakan lembut, manakala lapisan renda di bawah sutera melambangkan kekuatan di sebalik kelembutan.

Songket pula menjadi simbol kemegahan budaya, dengan penggunaan hiasan yang terkawal agar setiap teknik menyokong naratif tanpa mengatasi keseluruhan rekaan.

Koleksi The Hikayat of Ratna ditawarkan pada harga antara RM4,800 hingga RM22,000 dan telah habis terjual sepenuhnya, meskipun hanya diperkenalkan sebagai koleksi awal.

Tempahan oleh pelanggan setia seawal Disember tahun lalu mencerminkan kepercayaan berterusan terhadap kepakaran couture Rizman Ruzaini.

Melengkapi koleksi couture tersebut ialah Rebirth Vol.3: Raya, Koleksi Siap Pakai Musim Bunga Panas 2026 oleh RR by Rizman Ruzaini, yang menampilkan 24 rekaan dengan pendekatan kontemporari dan versatil terhadap busana perayaan.

Sebagai kesinambungan siri Rebirth, koleksi ini meraikan Hari Raya sebagai tradisi bersama di rantau Nusantara termasuk Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.

Koleksi ini menampilkan interpretasi moden terhadap siluet klasik seperti kebaya besar, kurung Kedah, kurung Pahang dan kurung longgar, digabungkan dengan potongan lembut, proporsi moden serta perincian yang praktikal.

Penggunaan chiffon, renda, fabrik bercetak dan aksen reben halus menjadikan rekaan sesuai digayakan secara berlapis serta dipakai melangkaui musim perayaan.

Rebirth Vol.3: Raya mencerminkan komitmen Rizman Ruzaini untuk menghormati tradisi sambil menyesuaikan diri dengan gaya hidup moden, menawarkan busana yang elegan, mudah digayakan dan berpaksikan warisan, namun kekal progresif.

Koleksi ini ditawarkan pada harga antara RM500 hingga RM850 dan akan mula dijual sepanjang bulan Ramadan di butik RR by Rizman Ruzaini di Suria KLCC dan Shangri-La Kuala Lumpur, serta secara dalam talian.

Hari Raya 2026 ini menjadi refleksi perjalanan Rizman Ruzaini selama 20 tahun dalam industri fesyen, memperlihatkan keseimbangan antara couture yang sarat dengan penceritaan dan koleksi siap pakai yang relevan dalam kehidupan seharian.

Di Maison Rizman Ruzaini, dikelilingi individu yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan jenama ini, Rizman Ruzaini menegaskan kepercayaan bahawa fesyen bukan sekadar pakaian, tetapi manifestasi memori, makna dan kuasa seni kraf yang berkekalan.

By Cynthia

Leave a Reply