KUALA LUMPUR, 3 November 2025 – Malaysia berpotensi muncul sebagai pemain utama rantau Asia dalam industri bahan nadir bumi (Rare Earth Elements – REE) dan thorium melalui pembangunan lestari berpaksikan sains, inovasi dan tadbir urus berintegriti.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Chang Lih Kang, dalam ucapan perasmian Seminar on Exploration, Thorium and Rare Earth (XThREE) 2025 hari ini menegaskan bahawa sektor ini bukan sekadar peluang ekonomi, tetapi agenda strategik nasional bagi menjamin kedaulatan teknologi dan tenaga masa depan negara.
Beliau berkata, seminar bertemakan “Securing the Future: Science, Strategy & Sustainability in REE and Thorium” ini menjadi wadah penting menggabungkan kepakaran kerajaan, industri dan akademia bagi membina ekosistem mineral kritikal yang mampan.
“Kita tidak bermula dari kosong. Malaysia memiliki sumber REE dan thorium yang besar – dianggarkan bernilai lebih RM809 bilion, dengan deposit utama di Perak, Kedah, Terengganu dan Sarawak,” ujar YB Chang.

Menurut beliau, negara mempunyai kelebihan tersendiri melalui kekuatan institusi seperti Agensi Nuklear Malaysia, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Tenaga Atom Malaysia (Atom Malaysia) yang memastikan setiap pembangunan dijalankan secara selamat, beretika dan selaras dengan piawaian antarabangsa IAEA.
Beliau turut menjelaskan bahawa Malaysia kini melaksanakan pendekatan “whole-of-government” melalui Pasukan Khas Rare Earth Elements (REE) yang menggabungkan pelbagai kementerian utama termasuk MOSTI, NRES, MITI dan MOF bagi memastikan ketelusan di setiap peringkat – daripada penerokaan, pemprosesan hingga aplikasi industri.
Di bawah pelan National Advanced Materials Technology Roadmap, MOSTI kini mempergiat kerjasama dengan universiti dan industri untuk mempercepat pemindahan teknologi, menggalakkan pemprosesan bernilai tambah serta mengukuhkan penyelidikan dalam teknologi pengekstrakan hijau, kitar semula magnet REE dan proses pemisahan lanjutan.
MOSTI juga menerapkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), rantaian blok (blockchain) dan pemantauan digital bagi memperkukuh kebertanggungjawaban serta standard ESG dalam industri mineral kritikal negara.
“Perlumbaan global terhadap bahan kritikal bukan hanya tentang keuntungan ekonomi, tetapi tentang ketahanan strategik dan kedaulatan teknologi. Pelaburan dalam mineral mesti seiring dengan pelaburan dalam ilmu dan inovasi,” tambah beliau.
Beliau menyeru semua pihak agar melihat pembangunan sektor thorium dan REE sebagai amanah bersama, yang bukan sekadar memacu pertumbuhan ekonomi tetapi juga memelihara alam sekitar dan kesejahteraan rakyat, selaras dengan semangat Malaysia MADANI.
Seminar XThREE 2025 dianjurkan oleh The Malaysian Association of Research Scientists (MARS) bersama Thorium Project Management Office (ThX), menghimpunkan pakar-pakar dalam bidang sains, teknologi dan industri bagi membincangkan strategi masa depan pembangunan sumber nadir bumi negara.
#XThREE2025 #MOSTI #MalaysiaMADANI #RareEarthMalaysia #ThoriumFuture #SainsDanTeknologi #InovasiHijau #SumberStrategik #PembangunanLestari #EkonomiBaharu