KUALA LUMPUR, 30 Oktober 2025 — Isu penjualan pembangunan Battersea Power Station di London sekali lagi mencuri perhatian apabila aktivis dan tokoh Melayu tampil menyatakan sokongan terhadap keputusan kerajaan, melalui KWSP dan PNB, untuk tidak meneruskan penjualan aset berkenaan.

Aktivis masyarakat, Dato’ Zaba Aman, ketika ditemui selepas menghadiri perjumpaan di Majlis Perundingan Melayu (MPM), menegaskan bahawa keputusan kerajaan ini bukan sekadar isu ekonomi tetapi juga isu maruah bangsa dan kedaulatan ekonomi Melayu.

“Tanah di Battersea itu adalah hak orang Melayu — melalui saham PNB dan KWSP yang mewakili kepentingan rakyat kita. Kami amat bersetuju agar kerajaan tidak menjualnya. Ini kemenangan kecil tetapi bermakna untuk maruah bangsa,” katanya.

Dato’ Zaba turut memuji peranan Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang lantang memperjuangkan isu ini sehingga mendapat perhatian pihak berkuasa. Beliau berharap agar aset Battersea kekal milik Malaysia dan menjadi simbol kekuatan ekonomi bangsa Melayu di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Mohd Rodzi, Pengerusi Waris PEKEMBAR Wilayah Persekutuan, turut menyuarakan penghargaan terhadap langkah berhati-hati KWSP dan PNB.

“Kami menyokong penuh keputusan KWSP dan PNB untuk tidak berhasrat menjual sebahagian pembangunan Battersea kepada pihak luar. Ini tindakan bijak yang wajar diteruskan demi kepentingan jangka panjang negara,” ujarnya.

Pandangan sama dikongsi oleh Encik Amran, seorang usahawan dan bekas vendor di bawah Sime Darby Property yang pernah terlibat dalam projek Battersea ketika era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

“Kami dahulu diberi peluang melalui inisiatif Vendor Bumiputera untuk terlibat dalam projek Battersea. Jadi bagi kami, projek ini bukan sekadar komersial, tetapi sentimental — lambang kebangkitan usahawan Bumiputera di pentas antarabangsa,” katanya.

Gabungan suara daripada aktivis, usahawan dan NGO Melayu jelas menunjukkan bahawa isu Battersea bukan sekadar soal ekonomi — tetapi soal kedaulatan ekonomi bangsa dan hak milik strategik Malaysia di luar negara.

#BatterseaMalaysia #MaruahMelayu #EkonomiBumiputera #KWSP #PNB #MajlisPerundinganMelayu #AsetNegara #BangkitMelayu #BumiputeraGlobal #AATVMedia

Leave a Reply