KUALA LUMPUR, 3 November 2025 – Majlis Helang Putih (MHO) hari ini melancarkan satu kempen besar-besaran yang belum pernah dilakukan sebelum ini — Kempen “Stop Bayar Ahlong”, bagi mengajak masyarakat khususnya mangsa pinjaman tidak berlesen untuk berhenti membayar kepada ahlong dan sebaliknya melawan mereka menggunakan undang-undang.

Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim berkata, kempen ini merupakan langkah berani dan perlu bagi memecahkan kitaran penderitaan mangsa-mangsa ahlong yang selama ini terus tertekan akibat bayaran demi bayaran tanpa penyelesaian.

“Kami dapati ramai mangsa diarahkan untuk terus membayar kepada ahlong oleh segelintir pihak termasuk individu yang mendakwa sebagai penguat kuasa, perunding, malah ahli keluarga sendiri. Tapi sebenarnya, bayar ahlong tidak akan menyelesaikan masalah — ia hanya menambah derita,” tegas beliau dalam sidang media pelancaran kempen tersebut.

Menurut Dato’ Hishamuddin, pihak MHO akan menggunakan segala peruntukan undang-undang sedia ada termasuk Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, Kanun Keseksaan, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) dan Akta Perlindungan Data Peribadi, bagi mendakwa dan menutup ruang operasi ahlong di Malaysia.
“Kalau kita konsisten dengan kempen ‘Stop Bayar Ahlong’ ini, bisnes ahlong boleh lingkup. Tak perlu undang-undang baru, yang sedia ada sudah cukup untuk bertindak. Kita cuma perlu kuatkuasakan dengan tegas,” katanya.
Turut hadir, Dato’ Naim yang menjelaskan bahawa mangsa-mangsa yang terus membayar hutang ahlong sebenarnya semakin terjerat dan tidak pernah tenang.
“Selama kami mengurus kes, tak ada satu pun mangsa yang hidupnya bertambah baik selepas bayar ahlong. Lagi bayar, lagi derita. Di MHO, kami tak guna gangster, tak runding dengan ahlong. Kami guna undang-undang,” jelas beliau.
Menarik perhatian, sidang media itu turut menampilkan Tony, seorang bekas ahlong berlesen yang kini menyertai perjuangan MHO untuk membanteras sindiket tersebut.
“Saya sendiri pernah kerja dengan syarikat pinjaman berlesen yang pegang kad bank pelanggan. Ini menyalahi undang-undang. Saya nasihat semua mangsa — jangan bayar ahlong, batalkan kad bank anda segera. Jangan biar diri jadi ‘keldai akaun’,” kata Tony.
Tambah beliau, kini beliau bersama MHO atas semangat “jihad sosial” untuk membantu mangsa lain keluar daripada cengkaman hutang haram.
Dato’ Hishamuddin turut menjelaskan bahawa sebarang keputusan NFA (No Further Action) dalam kes-kes berkaitan ahlong boleh dicabar secara sah melalui representasi kepada Timbalan Pendakwa Raya, dan bukannya dianggap muktamad.
“Kalau ada kes yang digugurkan, jangan putus asa. Mangsa boleh buat representasi supaya siasatan dibuka semula di bawah perintah OTI — Order to Investigate,” jelas beliau.
Kempen “Stop Bayar Ahlong” kini dibuka untuk penyertaan seluruh masyarakat Malaysia, dan MHO menyeru semua mangsa tampil untuk membuat laporan serta mendapatkan bantuan undang-undang melalui saluran sah.
“Inilah perjuangan kita. Lawan Ahlong guna undang-undang, bukan dengan bayaran atau ketakutan,” tegas Dato’ Hishamuddin menutup sidang media tersebut.

#StopBayarAhlong #LawanAhlong #MHO
#DatoHishamuddinHashim #MangsaAhlong #HapusPinjamanHaram #KeadilanUntukMangsa #JihadLawanAhlong #KuasaUndangUndang #MalaysiaBebasAhlong