
KUALA LUMPUR, 4 November 2025 – Seorang ibu tunggal, Priya Darshini anak perempuan Mahendran, 32 tahun, merayu campur tangan pihak berkuasa selepas hampir setahun tidak dapat berjumpa dua anak kandungnya walaupun mahkamah telah memutuskan hak jagaan penuh berpihak kepadanya.
Dalam sidang media yang diadakan petang tadi di Kuala Lumpur, aktivis sosial Dato’ Dr. Kalaivanar mendedahkan bahawa suami Priya Darshini, Kanageraj, telah ingkar perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam bertarikh 10 Disember 2024, yang memerintahkan agar ketiga-tiga anak mereka diserahkan kepada ibu dalam tempoh 24 jam.
“Perintah sudah jelas. Hak jagaan penuh diberikan kepada ibu. Tetapi sehingga kini, dua daripada anak masih tidak diserahkan. Ini bukan hal keluarga semata-mata — ini hal undang-undang,” tegas Dato’ Dr. Kalaivanar.

Beliau turut menegaskan bahawa polis wajar melaksanakan tanggungjawab mereka kerana mahkamah telah mengeluarkan arahan bertulis yang sah.
“Kalau rakyat biasa ingkar perintah mahkamah, mereka boleh ditangkap. Tapi kenapa bila kes seperti ini, tiada tindakan?” ujarnya.
Priya Darshini yang kini bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital di Singapura, tampil sebak menceritakan penderitaan yang dialami sejak memfailkan perceraian pada 2023.
“Saya dah dapat keputusan mahkamah, tapi anak saya masih dua orang belum diserahkan. Saya hanya dapat jaga anak bongsu. Saya rindu anak-anak saya… saya risau keselamatan mereka,” katanya sambil menahan air mata.
Beliau turut mendedahkan bahawa bekas suaminya pernah memukul dan mendera, malah pernah dipenjara antara tahun 2020 hingga 2024, namun tetap tidak berubah selepas dibebaskan.
“Saya tak nak perkara sama berlaku kepada anak-anak saya. Saya cuma nak mereka hidup selamat, tenang dan dalam jagaan yang betul,” luahnya.
Lebih mengejutkan, Priya memberitahu bahawa hasil panggilan video terakhirnya dengan anak-anak menunjukkan dua anak kecilnya tinggal bersendirian di rumah tanpa pengawasan orang dewasa.
“Anak saya umur 11 dan 8 tahun. Mereka kata balik sekolah, duduk rumah sorang-sorang. Kadang-kadang jalan kaki ke rumah nenek untuk makan,” katanya.
Priya kini merayu agar pihak Peguam Negara, Ketua Hakim Negara, dan Ketua Polis Negara turun tangan memastikan perintah mahkamah dipatuhi segera, bagi mengelakkan tragedi yang lebih buruk menimpa anak-anaknya.
“Kalau polis boleh ambil tindakan ke atas orang langgar undang-undang, kenapa tidak dalam kes ini? Ini bukan isu kecil, ini isu nyawa dan keselamatan anak-anak,” tegas Dato’ Dr. Kalaivanar yang juga pengerusi Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara.
Sidang media tersebut diakhiri dengan gesaan agar pihak berkuasa tidak mengambil ringan kes pengabaian dan pencabulan perintah mahkamah, kerana ia boleh menjadi preseden buruk terhadap sistem keadilan negara.
#KeadilanUntukPriya
#AnakBukanBarangMainan
#HormatPerintahMahkamah
#SuaraIbuMalaysia
#BahanaKesetiaanNegara
#PriyaDarshini
#AnakPerluDilindungi
#TegakkanKeadilan
#PolisBertindakSekarang