KUALA LUMPUR, 5 November 2025 – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini tampil bersama 38 mangsa bagi menyerahkan memorandum kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, menuntut agar siasatan segera dijalankan terhadap satu program pelaburan forex yang disyaki palsu.

Menurut Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim, mangsa-mangsa berkenaan telah mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM4,953,722.10 selepas menyertai program pelaburan forex yang kononnya berdaftar di bawah Labuan Financial Services Authority (LFSA).
“Mereka dijanjikan pulangan pelaburan yang tinggi, tetapi akhirnya ramai yang tidak menerima sebarang keuntungan. Malah, ada yang langsung tidak dapat mengeluarkan wang pelaburan mereka,” jelas Dato’ Hishamuddin dalam satu kenyataan media.
Beliau menjelaskan, modus operandi program ini menyerupai Skim Ponzi, di mana pelabur baharu digunakan untuk membayar keuntungan kepada pelabur lama.
Tambah beliau, walaupun laporan polis telah dibuat sejak beberapa bulan lalu, tiada perkembangan positif diterima oleh para mangsa sehingga hari ini.
“Mangsa-mangsa hadir hari ini bukan sekadar untuk menuntut semula wang mereka, tetapi untuk menuntut keadilan. Kami mohon pihak JSJK menyiasat kes ini di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan penipuan,” tegasnya.
Dato’ Hishamuddin menegaskan bahawa kes ini bukan hanya isu kerugian kewangan, tetapi turut melibatkan soal kepercayaan dan keselamatan pelabur awam di Malaysia.
“Kami menyeru agar pihak Polis Diraja Malaysia mengambil tindakan tegas terhadap dalang di sebalik program pelaburan ini. Jika tidak dibendung segera, lebih ramai rakyat akan menjadi mangsa penipuan pelaburan yang semakin berleluasa seperti cendawan tumbuh selepas hujan,” tambah beliau.

Memorandum tersebut diterima oleh Bahagian Pendaftaran JSJK Bukit Aman, dan diserahkan oleh Izzat Izzuddin Bin Idris, Setiausaha Kerja MHO yang turut mengiringi para mangsa.
MHO yang ditubuhkan sejak tahun 2016, merupakan sebuah organisasi bukan kerajaan yang memperjuangkan isu hak asasi manusia serta membantu masyarakat dalam aspek khidmat kemanusiaan dan guaman.
#ForexScam #MHO #KeadilanUntukMangsa #SkimPonzi #PDRM #SiasatSegera #PelaburanPalsu #BanterasPenipuan #HakRakyat #JSJKBukitAman