KUALA LUMPUR, 6 November 2025 – Seorang usahawan wanita tempatan, Puan Pavala Raani, tampil bersama aktivis sosial Dato’ Dr. Kalaivanar, mewakili Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, mendakwa dirinya menjadi mangsa penindasan oleh sebuah bank besar tempatan yang dirujuk sebagai Bank P.

Dalam satu sidang media petang ini, Dato’ Dr. Kalaivanar mendedahkan bahawa Pavala, yang membeli rumah dua tingkat bernilai RM410,000 pada tahun 2008, telah membuat pinjaman sebanyak RM390,000, namun selepas 18 tahun membayar tanpa gagal, beliau kini masih dibebani dengan baki hutang sebanyak RM605,000, menjadikan jumlah keseluruhan bayaran mencecah lebih RM1 juta.

“Beliau sudah bayar RM495,000, tapi bila mahu ‘settle’, bank kata masih ada baki RM605,290. Apa logiknya rumah RM410,000 jadi macam bayar bungalow RM1.5 juta?” tegas Dato’ Dr. Kalaivanar.

Beliau turut mendakwa bahawa semasa tempoh moratorium COVID-19, Pavala tetap dipaksa membayar antara RM2,000 hingga RM4,000 sebulan, dan jumlah keseluruhan bayaran sepanjang tempoh moratorium dikatakan mencecah RM140,000, bercanggah dengan maksud sebenar moratorium.

“Moratorium sepatutnya beri kelegaan kepada rakyat, bukan jerat hutang baharu. Apa makna moratorium kalau rakyat terus dibebankan dengan faedah berganda?” ujar beliau dengan nada tegas.

Menurut Pavala, beliau berulang kali memohon penyata penuh pinjaman daripada pihak bank, namun sehingga kini tidak menerima sebarang maklum balas jelas walaupun telah menghantar tiga surat rasmi melalui peguam.

“Saya hanya pinjam RM369,000, tapi kini bank kata saya perlu bayar RM1.1 juta untuk dapatkan balik hak milik rumah. Ini sangat tidak adil,” kata Pavala yang kelihatan sebak ketika berkongsi pengalamannya.

Dato’ Dr. Kalaivanar memberi tempoh 14 hari kepada bank berkenaan untuk tampil memberi penjelasan dan menyerahkan penyata terperinci kepada Pavala Raani. Sekiranya gagal, beliau memberi amaran bahawa satu demonstrasi besar-besaran akan diadakan di hadapan bank tersebut serta di Bank Negara Malaysia.

“Kita bukan mahu gembar-gembur politik. Ini isu marhaen. Bank besar jangan pijak rakyat kecil. Jika tiada tindakan, kita turun lagi – kali ini di hadapan Bank Negara,” tegasnya.

Beliau turut menyeru Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Negara Malaysia agar tidak terus berdiam diri terhadap kes-kes seperti ini yang disifatkan sebagai penindasan kewangan terhadap rakyat berpendapatan sederhana.

“Kalau Bank Negara boleh kaut untung RM22 bilion masa COVID-19, kenapa rakyat dibiarkan menderita dengan kadar faedah yang mencekik?” katanya lagi.

Sidang media itu diakhiri dengan seruan solidariti kepada semua mangsa pinjaman sewa beli yang didakwa menjadi mangsa manipulasi kadar faedah bank untuk tampil menuntut keadilan bersama NGO tersebut.

#KezalimanBank #MangsaPinjaman #BahanaKesetiaanNegara #PavalaRaani #KeadilanUntukRakyat #BankNegaraMalaysia #MoratoriumTipu #RakyatTertindas #SuaraMarhaen #TolakPenindasanKewangan

Leave a Reply