PUTRAJAYA – Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab pendidikan global apabila Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Education Malaysia Global Services (EMGS) memeterai semula memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkasa kerjasama strategik dalam mempermudah proses kemasukan pelajar antarabangsa ke institusi pengajian tinggi tempatan.

Kerjasama baharu ini memberi tumpuan kepada perkongsian dan integrasi data secara digital antara kedua-dua agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), yang dijangka dapat mempercepat serta menambah baik proses pengesahan kelayakan dan akreditasi program pengajian bagi pelajar luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohamad Shatar Sabran, berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada langkah strategik untuk memperkukuh sistem penilaian kualiti pendidikan negara di peringkat antarabangsa, di samping menyokong aspirasi kerajaan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelajar global.

“Sejak 2020, MQR telah mencatat lebih 16 juta capaian carian hingga November 2025. Ini menunjukkan kesedaran masyarakat dan pelajar semakin meningkat tentang kepentingan menyemak status akreditasi program sebelum membuat keputusan menyambung pengajian,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani MoU sempena Festival Idea Putrajaya 2025.

Menurut beliau, kerjasama MQA dan EMGS ini akan memperkukuh perkongsian data Daftar Kelayakan Malaysia (MQR) serta maklumat akreditasi, yang seterusnya boleh dimanfaatkan untuk promosi antarabangsa bagi meningkatkan keyakinan terhadap sistem pendidikan tinggi Malaysia.

Majlis pemeteraian MoU itu menyaksikan Prof. Datuk Dr. Mohamad Shatar mewakili MQA, manakala EMGS diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Novie Tajuddin, dengan disaksikan oleh Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim, serta Pengerusi EMGS, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie. Turut hadir barisan pengurusan kanan kedua-dua agensi.

Dalam pada itu, Novie Tajuddin berkata, pembaharuan MoU berkenaan membawa kerjasama dua hala ini ke tahap lebih tinggi melalui pelaksanaan sistem automasi data yang mampu meningkatkan ketelusan dan kecekapan pengurusan maklumat pendidikan tinggi.

“Integrasi sistem antara EMGS dan MQA membolehkan pengesahan akreditasi kursus dijalankan secara automatik. Ini memastikan hanya program pengajian yang sah dan diiktiraf ditawarkan kepada pelajar antarabangsa,” katanya.

Katanya lagi, langkah terbabit akan memperkukuh reputasi Malaysia sebagai destinasi pendidikan yang diyakini dunia, selain menyumbang kepada transformasi digital sektor pendidikan tinggi negara.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen kita dalam memperkasa sistem pendidikan tinggi Malaysia agar lebih kompetitif, berdaya saing dan berorientasikan masa depan,” katanya.

Dengan kerjasama strategik ini, Malaysia dilihat berada pada landasan kukuh untuk terus menarik minat pelajar antarabangsa dari pelbagai negara, seiring matlamat kerajaan untuk menjadikan negara ini sebagai hab pendidikan global yang berdaya saing dan berimpak tinggi.

By Cynthia

Leave a Reply