
KUALA LUMPUR, 11 November 2025 — Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara hari ini menyerahkan satu memorandum kepada Ketua Polis Negara di Bukit Aman, menuntut siasatan terbuka terhadap kematian seorang lelaki berusia 37 tahun, Thirunavakarssu a/l Narayanan, yang meninggal dunia semasa dalam tahanan polis pada September lalu.
Aktivis sosial Dato’ Dr Kalaivanar, yang mengetuai penyerahan memorandum itu, berkata kejadian tersebut menimbulkan pelbagai persoalan apabila mangsa dilaporkan meninggal dunia tidak lama selepas dipindahkan ke Penjara Sungai Buloh pada 18 September, hanya enam hari selepas ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.

“Mangsa ditangkap pada 12 September dan dimasukkan ke lokap Kuala Langat. Dua hari kemudian, dia dikejarkan ke hospital tanpa pengetahuan keluarga. Pada 18 September, dia dituduh di Mahkamah Sepang — bukan Banting — dan malam itu juga dia meninggal dunia. Semua berlaku terlalu pantas,” kata Dr Kalaivanar kepada media.
Menurutnya, berdasarkan maklumat daripada saksi-saksi dalam lokap, terdapat dakwaan bahawa mangsa dipukul dan dikenakan rencatan elektrik oleh beberapa anggota polis ketika dalam tahanan.
“Ada dua saksi tampil memberitahu keluarga bahawa semasa dalam lokap, mereka melihat mangsa dipukul dan dikenakan rencatan elektrik. Kami percaya ada unsur konspirasi besar dalam kematiannya,” tegas beliau.
Keluarga mangsa dikatakan telah membuat laporan polis pada 11 Oktober 2025, namun sehingga kini belum menerima sebarang panggilan untuk dirakamkan kenyataan.
“Sudah sebulan laporan dibuat tetapi tiada tindakan lanjut. Kita desak agar semua anggota terlibat — termasuk pegawai penyiasat dan detektif di IPD Kuala Langat — dikenakan siasatan segera,” ujar beliau lagi.
Dr Kalaivanar turut mendedahkan bahawa ketika proses bedah siasat dijalankan pada 19 September, terdapat kecederaan ketara di belakang, tangan, kaki dan bahagian badan mangsa. Namun pihak keluarga tidak dibenarkan merakam gambar atau video keadaan jenazah tersebut.
“Ini bukan soal nak menyalahkan polis secara keseluruhan, tetapi soal tanggungjawab dan integriti. Bila seseorang berada dalam tahanan, keselamatan mereka adalah di bawah jagaan pihak berkuasa,” katanya.
Beliau turut menggesa agar satu inkues rasmi dijalankan bagi menentukan punca kematian dan memastikan keadilan kepada keluarga. Sekretariat itu juga akan membawa kes tersebut ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dalam masa terdekat bagi menuntut tindakan lebih telus.
Dr Kalaivanar menegaskan bahawa kes seperti ini tidak boleh lagi dipandang ringan kerana ia menggugat kepercayaan rakyat terhadap institusi keselamatan negara.
“Setiap nyawa dalam tahanan adalah amanah. Jika ada kematian, mesti ada pertanggungjawaban,” katanya menutup kenyataan.
#KeadilanUntukTirunawakarsu
#HentikanKematianDalamTahanan
#ReformasiPolis
#SuaraRakyat
#HakAsasiManusia
#SUHAKAM
#KeadilanUntukSemua
#PolisBertanggungjawab
#BahanaKesetiaanNegara
#KalaivanarBersuara