KUALA LUMPUR, 12 November 2025— Para pengusaha dan pemandu lori dari seluruh negara dijangka akan berhimpun secara aman di perkarangan Parlimen Malaysia pada 19 November ini, jam 2 petang, bagi menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX).
Perhimpunan itu dianjurkan oleh Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN) dan dipimpin oleh pengerusinya, Datuk Dr. Kalaivanar, sebagai usaha membawa suara industri logistik yang kini didakwa berdepan tekanan akibat pelaksanaan pelbagai undang-undang dan saman terhadap pemandu lori.
“Siapa-siapa yang ada masalah saman, semua kena turun. Jangan duduk di kedai kopi atau di rumah sahaja. Kita kena turun ramai-ramai di Parlimen pada 19 haribulan, jam 2 petang. Bila menteri nampak kehadiran ramai, barulah kerajaan sedar betapa seriusnya masalah ini,” tegas Datuk Dr. Kalaivanar.
Beliau menjelaskan, perhimpunan ini bukan bertujuan menentang kerajaan, sebaliknya mahu menyeru kerajaan agar meneliti semula dasar dan peraturan yang membebankan pengusaha lori serta pemandu.
“Kita bukan menentang kerajaan, dan bukan juga menentang YB Anthony Loke. Kalau kerajaan baik, kita pun sokong. Tetapi, setiap hari diumumkan undang-undang baru, satu hari satu undang. Ini menyusahkan pengusaha lori dan pemandu. Lesen digantung bukan saja untuk lori, tetapi juga B2 dan B. Jadi bagaimana mereka nak cari rezeki?” katanya lagi.
Datuk Dr. Kalaivanar turut menyeru agar semua yang hadir menunjukkan disiplin dan menjaga keamanan sepanjang perhimpunan sebagai tanda solidariti.
“Kalau kerajaan sokong kami, kami pun akan terus sokong kerajaan. Daulat Tuanku!” katanya mengakhiri kenyataan.
Perhimpunan itu dijangka mendapat sambutan besar daripada pengusaha dan pemandu lori dari seluruh negara, termasuk Johor, Kelantan, Terengganu dan Perak, yang mahu suara mereka didengari oleh pihak kerajaan.
#SBKN
#PengusahaLori
#PemanduLori
#ParlimenMalaysia
#PMX
#AnthonyLoke
#MemorandumLori
#SolidaritiLori
#SuaraPemandu
#KeadilanUntukPemandu
