KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr Azam Rauzan, menyifatkan lawatan mengejut bekas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke Malaysia baru-baru ini sebagai satu tanda negatif terhadap hala tuju diplomasi kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX).

Dalam satu sesi perbualan bersama Sembang Kopi, Dr Azam berkata sambutan mesra yang diberikan kepada Trump memberi gambaran bahawa Malaysia kini lebih cenderung kepada pengaruh Amerika Syarikat, berbanding memperkukuh solidariti ASEAN dan dunia Islam.

“Ketika Trump datang ke Malaysia, disambut dengan begitu gemilang. Tetapi bagi saya ini bukan petanda baik. Trump bukan tokoh biasa — dia ‘the man behind’ banyak isu global yang mencetuskan ketegangan,” katanya.

Dr Azam turut menyatakan kebimbangan terhadap persepsi negara-negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Jepun, yang menurutnya melihat Malaysia kini semakin “mesra Washington”.

“Kita perlu ingat, dalam politik serantau kita tidak boleh tikam kawan. ASEAN adalah kelompok yang saling bergantung. Jika Malaysia dilihat terlalu pro-Amerika, ia boleh menjejaskan keseimbangan kuasa di rantau ini,” tegas beliau.

Mengulas lanjut, beliau juga menegur langkah kerajaan yang menandatangani perjanjian tarif antara Malaysia dan Amerika Syarikat, yang didakwa “memakan diri” selepas lawatan Trump.

“Saya percaya Tengku Zafrul dan juga PMX memainkan peranan penting dalam perjanjian itu. Namun hasilnya, Malaysia dilihat seolah tunduk kepada tekanan ekonomi luar,” katanya.

Tambah beliau, tindakan kerajaan itu bercanggah dengan imej Malaysia sebagai negara yang lantang memperjuangkan isu Palestin dan Gaza.

“Kita sering mengangkat diri sebagai champion of Gaza dan Palestine. Tetapi dalam masa sama kita meraikan Trump — seorang tokoh yang banyak dikaitkan dengan dasar pro-Israel. Ini satu kegagalan diplomasi yang memalukan,” katanya lagi.

Dr Azam menganggap peristiwa ini sebagai pengajaran penting kepada kepimpinan PMX agar lebih berhati-hati dalam membuat keputusan dasar luar, terutama apabila ia melibatkan hubungan kuasa besar dunia.

“Ini pengajaran yang mahal untuk Malaysia dan juga untuk PMX sendiri. Kita perlu menilai semula arah diplomasi agar tidak tersilap langkah,” katanya menutup kenyataan.

#TrumpDiMalaysia
#PMX #AnwarIbrahim
#DiplomasiMalaysia
#GeopolitikASEAN
#DrAzamRauzan
#UMNO
#PolitikMalaysia
#IsuPalestin
#AmerikaSyarikat
#AnalisisMalaysiaKini

Leave a Reply