KUALA LUMPUR – Presiden PUTRA, Dato’ Paduka Dr Ibrahim Ali, menegaskan bahawa parti itu tidak akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 meskipun menerima desakan daripada kepimpinan parti di negeri tersebut.

Menurut beliau, walaupun PUTRA Sabah mempunyai lapan bahagian yang aktif dan hadir dua kali membawa senarai lima calon berpotensi, keputusan tetap dibuat untuk tidak bertanding.

“Saya melihat perkembangan politik di Sabah, jumlah parti terlalu banyak, dan lebih 500 calon bertanding. Ada DUN sampai 12 hingga 13 calon. Dalam keadaan ini, sukar untuk menang,” jelasnya.

Ibrahim menegaskan bahawa pertandingan dalam suasana politik Sabah yang dipenuhi politik wang, pengaruh parti pemerintah dan sumber kewangan yang besar—seperti PH, GRS dan Barisan Nasional—menjadikan peluang parti kecil hampir mustahil.

Beliau turut menyebut bahawa keputusan itu bukan mudah, terutama selepas calon-calon Sabah menghubungi beliau berkali-kali untuk mendapatkan watikah.

“Mereka kecewa, saya tahu. Tapi saya mesti realistik. Ini keputusan Majlis Tertinggi PUTRA,” katanya.

Ibrahim juga menyatakan rasa tidak senang terhadap peningkatan sentimen kenegerian di Sabah dan Sarawak, yang menurutnya bertentangan dengan semangat federalisme.

“Kalau Sabah tetap Sabah, Sarawak tetap Sarawak… apa gunanya berada dalam Malaysia? Ini sudah lain daripada semangat persekutuan,” tegas beliau.

Disebabkan faktor politik wang, jumlah calon yang terlalu ramai serta peningkatan politik sentimen negeri, PUTRA memilih untuk memberi tumpuan kepada PRU16 di peringkat Parlimen sebagai medan lebih sesuai untuk bersaing.

#PRNSabah
#AATVNews
#PUTRA
#IbrahimAli
#PolitikSabah
#PRN2025
#IsuSemasa
#Federalisme
#PolitikMalaysia
#AnalisisAATV

Leave a Reply