KUALA LUMPUR, 23 November 2025 — Presiden PPP Malaysia, Datuk Dr. Loga Bala Mohan menegaskan bahawa parti itu tidak akan mengulas atau campur tangan dalam isu melibatkan MIC, sambil menekankan bahawa hal tersebut adalah urusan dalaman parti berkenaan.

Menurut beliau, spekulasi bahawa PPP perlu mengambil alih peranan MIC dalam mewakili komuniti India tidak berbangkit kerana kedua-dua parti mempunyai asas perjuangan yang berbeza.

“Saya tidak akan komen tentang MIC. Itu bukan urusan kami. Biarkan mereka membuat keputusan mereka sendiri,” tegasnya.

Beliau menjelaskan bahawa MIC merupakan parti berasaskan kaum, manakala PPP berdiri sebagai parti pelbagai kaum, walaupun majoriti ahlinya terdiri daripada masyarakat India.

“MIC adalah race-based party. Kami adalah multi-racial party. Jadi apa kaitannya? Ya, PPP mempunyai hampir 80% ahli India, dan kami boleh memainkan peranan untuk komuniti India, tetapi perbandingan itu tidak tepat. Ia seperti membandingkan epal dengan oren,” katanya.

Status PPP dalam BN: “Kami tidak pernah keluar”

Datuk Dr. Loga Bala turut menjelaskan kedudukan PPP dalam Barisan Nasional (BN). Beliau menegaskan bahawa parti itu tidak pernah keluar daripada gabungan tersebut dan proses “reinstatement” hanya melibatkan aspek teknikal pendaftaran dalam sistem pertubuhan.

“Kami tidak pernah keluar BN. Parti ini parti lama, 72 tahun, didaftarkan sejak 1953, dan nombor pendaftaran itu masih digunakan hingga hari ini.”

Beliau berkata PPP hanya memberi ruang kepada BN untuk menyelesaikan proses berkaitan kedudukan rasmi parti itu dalam gabungan, dan yakin keputusan akan diperoleh dalam masa terdekat.

“Kami beri masa kepada BN untuk selesaikan isu ini dengan baik. Itu sahaja.”

#PPP #MIC #BNMalaysia #PolitikMalaysia #LogaBalaMohan #PartiPolitik #BeritaSemasa #AATV #PPPMalaysia #IsuPolitik

Leave a Reply