KARAK, 27 November 2025 – Aktivis sosial dan wakil Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr Kalaivanar, tampil mempertikaikan tindakan sebuah kenderaan yang dipercayai milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang didakwa menggunakan nombor pendaftaran tidak sah dalam satu insiden di Plaza Tol Lanchang pada 20 November lalu.

Bercakap pada jam 2.40 petang di Stesen Penguatkuasaan Karak, beliau menegaskan bahawa prinsip “nobody is above the law” harus terpakai kepada semua pihak termasuk agensi penguatkuasaan.

Menurut beliau, video tular membabitkan seorang pemandu lori, Mr. Nagendraw A/L Nagaya, bukanlah fokus utama, sebaliknya persoalan lebih besar ialah dakwaan penggunaan kenderaan tanpa logo JPJ serta nombor pendaftaran yang tidak berdaftar.

“JPJ datang guna kad kuasa, lakukan tugas – itu kita hormat. Tapi hari itu, sebuah Fortuner datang tanpa logo, nombor pendaftaran pula dipercayai tidak sah. Adakah ini dibenarkan?” katanya.

Beliau turut mendesak Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, memberikan penjelasan segera berhubung insiden tersebut, termasuk dakwaan penyamaran kenderaan operasi.

Dato’ Dr Kalaivanar menegaskan pihaknya tidak pernah memusuhi penjawat awam, namun menuntut semua agensi mematuhi undang-undang sedia ada, sama seperti rakyat biasa.

“Bila pemandu lori salah, menteri cepat kata salah tetap salah. Tapi bila JPJ pula buat salah, mengapa diam? Kalau benar berlaku penyamaran, siapa yang bertanggungjawab?” tegasnya.

Beliau turut mengesahkan bahawa satu laporan polis telah dibuat dan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak berkuasa, namun menuntut ketelusan daripada pihak kementerian.

Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara sebelum ini beberapa kali mengadakan demonstrasi di Parlimen, menuntut agar operasi JPJ dijalankan dengan jelas serta tanpa sebarang elemen penyamaran.

“Kedaulatan undang-undang mesti dihormati. Menteri Pengangkutan perlu tampil menjawab, bukan mengalihkan isu,” tambahnya.

Beliau menutup kenyataan dengan menyeru pihak kementerian tampil memberikan penjelasan rasmi bagi meredakan keresahan pengusaha lori dan masyarakat marhaen.

#AATVNews #IsuJPJ #KedaulatanUndangUndang #AnthonyLoke #Penguatkuasaan

Leave a Reply