PUTRAJAYA, 27 Nov 2025 – Gabungan Kontraktor Alam Flora hari ini menyerahkan satu memorandum bantahan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mendesak siasatan serta tindakan segera diambil berhubung dakwaan ketidaktelusan dalam proses pelantikan kontraktor baharu oleh pihak Alam Flora.

Wakil gabungan, En. Zamri Mohamad, berkata pihaknya akan kembali ke SPRM dalam masa terdekat untuk membuat laporan rasmi sebagai tindakan susulan sekiranya isu tersebut tidak diberikan perhatian sewajarnya.

Menurutnya, memorandum yang dihantar itu membawa suara majoriti kontraktor lama yang merasakan diri mereka terpinggir walaupun telah berkhidmat selama bertahun-tahun di Putrajaya, Selangor dan Pahang.

“Kami berharap SPRM meneliti memorandum ini secara serius dan menilai situasi ini dengan adil. Ramai kontraktor lama telah melabur besar dalam pembelian peralatan, meningkatkan standard operasi termasuk pematuhan ISO, namun kini seolah-olah diketepikan,” katanya.

Gabungan kontraktor mendakwa wujud unsur ketirisan dan proses penilaian yang tidak telus dalam pemilihan kontraktor baharu, termasuk undian oleh pihak pengurusan yang dikatakan berat sebelah.

En. Zamri menegaskan bahawa gabungan tidak pernah berniat menghalang rezeki mana-mana pihak, tetapi hanya menuntut ketelusan sepenuhnya agar pelantikan kontraktor dibuat berdasarkan merit dan prestasi sebenar.

Mereka turut menggesa agar proses tender semasa ditangguhkan sementara dan disemak semula bagi memastikan pelantikan kontraktor dilakukan dengan lebih adil, telus dan berintegriti.

#AATVNews #AlamFlora #IsuKontraktor #SPRM #Ketirisan #TenderTelus #IntegritiAwam #SuaraKontraktor #Putrajaya #AgendaRakyat

Leave a Reply