KUALA LUMPUR, 2 Disember 2025 — PRN Sabah yang baru berakhir membuka lembaran baharu dalam landskap politik negara, terutama selepas kekalahan besar DAP yang disifatkan pemerhati sebagai “isyarat jelas penolakan rakyat”.

Mengulas situasi itu, Aktivis Sosial dan wakil Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr Kalaivanar, memberikan reaksi tegas berhubung kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, yang memaklumkan parti akan menilai semula strategi untuk meraih kembali sokongan rakyat.

Menurut Dato’ Dr Kalaivanar, situasi tersebut tidak memerlukan kajian panjang, sebaliknya beliau menyarankan Anthony Loke melepaskan jawatan bagi memberi ruang kepada muka baharu dalam parti.

“Tak payah kaji-kaji. Letak jawatan saja. Dalam DAP sendiri pun ramai yang tak mahu dia. Menteri-menteri dalam DAP pun tak setuju,” katanya.

Beliau menambah bahawa kegagalan merancang strategi yang berkesan sehingga menyaksikan kekalahan besar dalam PRN Sabah merupakan tanda jelas bahawa kepimpinan parti perlu berubah.

“PRN Sabah ini yang paling besar kesannya dalam sejarah. Bukan hilang satu dua kerusi—ini lingkup terus. Dia sendiri kata bertanggungjawab… kalau betul bertanggungjawab, letak jawatanlah,” katanya lagi.

Dato’ Dr Kalaivanar turut menegaskan bahawa masa depan DAP lebih cerah sekiranya peluang diberikan kepada generasi baharu yang lebih segar dan dekat dengan masyarakat marhaen.

“Bagi generasi baru dalam DAP naik. Mereka mungkin lebih mampu membawa kejayaan untuk rakyat marhaen. Kalau parti pun dah tak mahu, lebih baik undur dan beri orang lain jalankan tugas,” ujarnya.

Reaksi lantang itu mencerminkan gesaan segelintir pihak yang melihat PRN Sabah sebagai amaran politik yang tidak boleh dipandang ringan.

#PRNSabah2025 #AnalisisPolitik #DAP #AnthonyLoke #KepimpinanParti #IsuSemasaMalaysia #AATVNews #SuaraAktivis #PolitikHariIni #RakyatBersuara

Leave a Reply