KUALA LUMPUR, 2 Disember 2025— Seorang ibu tunggal, Puan Rabitah binti Mohamed, atau lebih dikenali sebagai Puan Nora, tampil merayu bantuan kerajaan, pihak berkuasa dan orang ramai selepas anaknya, Dariushy Iman Mortezagholi, 18 tahun, dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja.
Menurut Puan Nora, anaknya diperdaya pada September lalu oleh seorang lelaki warga Malaysia yang menawarkan pekerjaan bergaji tinggi di Kemboja. Mangsa yang baru menamatkan peperiksaan SPM berangkat tanpa pengetahuan keluarga, sebelum semua bentuk komunikasi terputus sepenuhnya.
Lebih membimbangkan, Puan Nora mendedahkan bahawa individu yang merekrut anaknya kini menuntut wang tebusan RM5,000 bagi membebaskan Dariushy Iman. Dengan pendapatan terhad sebagai ibu tunggal, beliau tidak mampu memenuhi tuntutan tersebut dan hanya mampu merayu simpati rakyat Malaysia.
Dalam tangisan, Puan Nora menyeru kerajaan Madani, NGO, aktivis kemanusiaan serta orang ramai agar tampil membantu menyelamatkan anaknya sebelum terlambat. Beliau turut merayu kepada bekas suaminya, Ali Reza, yang dipercayai berada di Australia, agar segera dihubungi bagi dimaklumkan keadaan anak mereka.
Puan Nora turut merayu kepada sindiket yang menahan anaknya agar tidak mencederakan beliau, memandangkan usia Dariushy yang masih muda dan tidak mengetahui apa-apa mengenai operasi kegiatan jenayah tersebut.
Beliau memohon sesiapa yang ingin membantu menyalurkan maklumat, sokongan atau bantuan kecemasan boleh menghubunginya di 018-213 3251 atau menyalurkan sumbangan ke Akaun Maybank 1122 0505 7126.
#SelamatkanDariushy #StopHumanTrafficking #KembojaScam #IbuTunggalMerayu #AATVNews #AnakMalaysia #SindiketKemboja #BantuPuanNora #JenayahRentasanSempadan #MalaysiaPrihatin