Ramai Belum Faham Akta 834 — MOSTI Mahu Percepat Literasi Angkasa

USIM, 7 Disember 2025 – Malaysia terus mengorak langkah besar dalam pembangunan perundangan angkasa apabila MOSTI bersama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya melaksanakan Pertandingan Mut Perundangan Angkasa (Space Law Moot Court) pertama negara, sekaligus menandakan era baharu kesedaran undang-undang berkaitan aktiviti angkasa lepas.

Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, YBhg. Dato’ Ruziah binti Shafei, merakamkan penghargaan kepada semua pasukan yang terlibat dan menyifatkan penganjuran julung kali ini sebagai platform penting bagi mendidik masyarakat mengenai Akta 834 (Akta Aktiviti Angkasa 2025) yang mula diwartakan Januari lalu.

Menurut beliau, mutu pemahaman para peserta dan hakim dalam pertandingan tersebut membuktikan bahawa usaha MOSTI untuk memperluas kefahaman mengenai undang-undang angkasa menunjukkan hasil yang besar.

“Mut Court ini memberi ruang kepada pelbagai pihak memahami hasrat kerajaan dalam membangunkan Akta 834. Ia juga mendedahkan pelajar undang-undang kepada isu sebenar berkaitan operasi serta pelancaran objek angkasa,” ujar Dato’ Ruziah.

Beliau turut menyentuh tentang insiden kejatuhan serpihan objek angkasa sebelum ini yang tidak disusuli sebarang tuntutan undang-undang. MOSTI kini menekankan keperluan negara bersedia sepenuhnya dari segi kerangka perundangan sekiranya insiden serupa berlaku pada masa depan.

MOSTI juga bersedia memperkasa mekanisme pengeluaran permit pelancaran satelit, seiring pertumbuhan pesat industri angkasa Malaysia. Di bawah Akta 834, mana-mana pihak yang ingin melancarkan satelit dari Malaysia diwajibkan memohon permit daripada Penguasa Angkasa di bawah MOSTI.

Pada masa ini, USIM merupakan satu-satunya universiti di Malaysia yang menawarkan kursus elektif Perundangan Angkasa (Space Law). Namun sambutan daripada mahasiswa universiti lain yang menyertai pertandingan ini dilihat amat menggalakkan, sekaligus membuka potensi lebih banyak institusi menawarkan elektif serupa pada masa hadapan.

Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts Dr. Sharifudin Md Shaarani menegaskan kelebihan unik USIM sebagai institusi yang menghasilkan graduan undang-undang yang layak beramal di mahkamah syariah dan sivil tanpa memerlukan kursus tambahan.

“Semua graduan kami mempelajari asas Space Law walaupun ia ditawarkan sebagai elektif. Kepakaran pensyarah USIM dalam bidang ini turut menjadi pemangkin kepada perkembangan undang-undang angkasa negara,” jelas beliau.

Dato’ Ruziah turut mencadangkan agar mahasiswa yang memahami bidang ini bertindak sebagai peer educator untuk memperluaskan pembudayaan sains angkasa di peringkat sekolah melalui program MOSTI.

“MOSTI akan membawa perkara ini sebagai salah satu program kebudayaan di sekolah. Kita mahu melahirkan minat sejak peringkat awal dan memastikan generasi baharu benar-benar memahami ruang undang-undang angkasa,” katanya.

MOSTI menyatakan komitmen untuk meneruskan program seumpama ini pada masa hadapan dan memperluaskan penyertaan kepada lebih banyak universiti di seluruh negara.

#SpaceLawMalaysia #MOSTI #USIM #Akta834 #AngkasaMalaysia #SainsUntukMasyarakat #SatelitMalaysia #BeliaAngkasa #AATVNews #MutCourt2025

Leave a Reply