KUALA LUMPUR, 6 Disember 2025 – Bulan terakhir tahun 2025 terus diserikan dengan penganjuran Program Jelajah Sejuta Harapan oleh Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) yang berlangsung seiring dengan Program Mobile School di Perumahan Awam (P.A.) Desa Rejang, Kuala Lumpur.

Seawal 9.00 pagi, anak-anak yang menyertai program Mobile School hadir ditemani ibu bapa di Pejabat Persatuan Penduduk. YBK turut membuka kaunter maklumat pendidikan, manakala syarikat TERAS Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd menarik perhatian pengunjung dengan gerai Jualan Murah “Back To School”.

Program dimulakan dengan taklimat oleh Encik Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz, Pengurus Besar YBK, sebelum ucapan oleh YBhg. Datin Dr. Hajah Hartini Osman, Pengerusi Yayasan Bina Kesejahteraan (YBCare) merangkap Pengasas Mobile School. Ucapan turut disampaikan Dr. Zahid Zamri, wakil Usrah In Action Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), bersama wakil Persatuan Penduduk Desa Rejang.

Majlis kemudian dirasmikan oleh Pengerusi YBK, YBhg. Dato’ Haji Zainal Abidin Sakom, yang turut memberikan suntikan motivasi kepada para peserta dan ibu bapa. Sesi perasmian disempurnakan dengan tayangan klip video gimik pelancaran Mobile School serta penyampaian cenderamata kepada wakil penganjur.

Menariknya, sebelum Modul 1 bermula, peserta diberi pendedahan mengenai Amalan Bermain Permainan Video Secara Sihat, disampaikan oleh Dr. Zatul Iffah Abu Hasan, Pengasas Esports Medical Academic (Esports MedicA), bagi meningkatkan kesedaran tentang gaya hidup digital yang seimbang.

Modul 1 Mobile School (Taklimat & Suai Kenal) dikendalikan oleh Encik Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz, manakala Modul 2 (Diriku Sangat Berharga) diterajui oleh Encik Audi Faliq Ibrahim. Kedua-dua sesi dibantu oleh barisan pelajar Usrah In Action IIUM yang bertindak sebagai fasilitator.

Program menerima sambutan yang sangat positif daripada peserta dan ibu bapa, menandakan kejayaan usaha pendidikan komuniti oleh YBK dan rakan kerjasama. Siri seterusnya iaitu Modul 3 dan Modul 4 dijadualkan berlangsung pada 24 Januari 2026.

#YBK #MobileSchool #JelajahSejutaHarapan #DesaRejang #PendidikanKomuniti
#BackToSchool #YBCare #IIUM #EsportsMedica #AATVNews

Leave a Reply