PUTRAJAYA, 10 Disember 2025 — Bekas Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim, memaklumkan bahawa Mesyuarat Payung Besar Melayu yang dipengerusikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini telah mencapai kata sepakat untuk meneruskan penganjuran Konvensyen 153 pada 13 Disember bertempat di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang.

Mesyuarat yang menghimpunkan para pemimpin NGO dan wakil-wakil pertubuhan perjuangan Melayu itu dijangka menghimpunkan sekitar 500 peserta mewakili pelbagai badan kepentingan Melayu.

Menurut Tan Sri Rais, konvensyen tersebut bakal menjadi medan penting bagi memperkukuhkan kefahaman dan kedudukan orang Melayu di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, selain mengingatkan bahawa masa depan hak-hak asas Melayu tidak lagi boleh dibincang secara apologetik atau berundur ke belakang.

“Konvensyen ini bertujuan menegapkan lagi kuasa Yang di-Pertuan Agong dengan ummah Melayunya, serta memastikan masa depan bangsa dapat dijamin dan diselamatkan,” tegas beliau.

Tan Sri Rais turut menekankan keperluan NGO Melayu untuk bersatu, mencari titik temu dan memastikan perjuangan hak Melayu, kedudukan Raja-Raja Melayu, ekonomi, pendidikan serta latihan berkaitan tidak lagi tersimpang daripada landasan asal.

Beliau berharap Sekretariat Melayu yang menjadi tulang belakang persediaan konvensyen tersebut akan terus berani, cekal dan berjaya menjayakan agenda besar itu.

Konvensyen 153 dijangka menjadi platform utama untuk merangka hala tuju baru dan memperkukuh suara kolektif seluruh organisasi Melayu pada era politik dan sosial yang dianggap kian mencabar.

#Konvensyen153
#PayungBesarMelayu
#RaisYatim
#TunMahathir
#HakMelayu

Leave a Reply