PUTRAJAYA, 10 Disember 2025 — Presiden PERKASA, Syed Hasan Syed Ali, hari ini mendedahkan beberapa ketetapan penting hasil Mesyuarat Sekretariat Konvensyen 153, Payung Besar Melayu, yang dipengerusikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad. Mesyuarat itu mengekalkan venue rasmi konvensyen yang akan berlangsung pada 13 Disember 2025 di Dewan Tunku Abdul Rahman, Saloma, Kuala Lumpur, selepas cadangan menukar lokasi ditolak.

Menurut Syed Hasan, tiada keperluan berpindah lokasi kerana tempat asal itu dimiliki usahawan Melayu dan persiapan program telah mencapai tahap akhir. Beliau menegaskan bahawa konvensyen tersebut amat penting untuk memahami cabaran masa depan bangsa Melayu.

Beliau turut menyeru peserta supaya hadir dengan pakaian serba hitam lengkap dengan songkok atau tanjak sebagai simbolik identiti Melayu. Minum pagi turut disediakan bermula jam 8 pagi hingga 11 pagi bagi menyambut kehadiran para peserta.

Malaysia Berisiko Jadi Medan Pertembungan AS–China

Mesyuarat itu turut menyentuh isu keselamatan yang dianggap sangat kritikal. Syed Hasan mendedahkan kebimbangan serius mengenai kandungan perjanjian keselamatan Malaysia–Amerika Syarikat yang dimeterai pada Oktober lalu.

Menurutnya, terdapat risiko bahawa Malaysia bakal menjadi wilayah pertempuran kuasa besar, khususnya antara Amerika Syarikat dan China, jika garis kerjasama keselamatan tersebut tidak dijelaskan kepada rakyat.

Beliau menegaskan bahawa ASEAN mempunyai pendirian berkecuali dan Malaysia tidak seharusnya terikat dengan mana-mana blok kuasa besar. Justeru, beliau menggesa kerajaan supaya mendedahkan butiran penuh perjanjian keselamatan itu, seperti yang turut disarankan oleh Tun Dr. Mahathir dalam mesyuarat berkenaan.

“Rakyat berhak tahu sejauh mana komitmen Malaysia dalam perjanjian tersebut dan apakah implikasinya kepada keselamatan negara,” katanya.

#AATVNews #Konvensyen153 #Perkasa #TunM #KeselamatanMalaysia #MalaysiaUS #KuasaBesar #ASvsChina #IsuSemasaMY #MelayuBersatu

Leave a Reply