KUALA LUMPUR, 13 Disember 2025 — Penganjur Konvensyen 153, Rafique Rashid, menegaskan bahawa penganjuran Konvensyen 153 hari ini adalah satu seruan penting untuk menyatukan orang Melayu dalam mempertahankan hak istimewa Melayu dan Bumiputera di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang didakwa semakin terhimpit dalam landskap politik semasa.
Menurut beliau, keperluan untuk berhimpun pada ketika ini timbul berikutan kegagalan kerajaan mentadbir secara berkesan serta kebergantungan berlebihan kepada sokongan politik parti bukan Melayu, yang disifatkan memberi tekanan terhadap kepentingan teras orang Melayu.
Rafique turut menyuarakan kebimbangan serius terhadap Perjanjian Anwar–Trump 2025 serta Memorandum Persefahaman (MoU) ketenteraan antara Malaysia dan Amerika Syarikat, yang merangkumi kerjasama rondaan di Laut China Selatan dan Selat Melaka, sistem radar serta aset ketenteraan. Menurutnya, perjanjian-perjanjian ini berpotensi memberi kesan besar terhadap kedaulatan, kebebasan membuat keputusan dan keselamatan negara.
“Persoalan utama yang kita bangkitkan ialah sama ada Malaysia secara senyap telah melepaskan sebahagian kebebasan dan kedaulatannya sehingga terpaksa menurut telunjuk kuasa asing,” tegas beliau.
Dalam konvensyen tersebut, satu ketetapan penting telah dicapai apabila peserta dari pelbagai latar belakang mendesak agar semua parti politik Melayu mengetepikan perbezaan kecil dan bersatu, seterusnya membina kekuatan akar umbi demi menghadapi pilihan raya secara satu lawan satu.
Rafique menjelaskan bahawa resolusi-resolusi yang dipersetujui bukan sekadar simbolik, malah merupakan satu “ketukan kepada pintu istana”, agar Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu mengambil maklum isu-isu besar yang dibangkitkan oleh orang Melayu.
Menjawab soalan wartawan, beliau mengesahkan bahawa resolusi Konvensyen 153 akan diangkat kepada Majlis Raja-Raja melalui Sekretariat Orang Melayu, selaku penganjur utama konvensyen berkenaan.
Mengulas lanjut, Rafique menegaskan bahawa Perkara 153 merupakan satu “constitutional safeguard” yang menjamin hak orang Melayu, Bumiputera, serta orang asal di Sabah dan Sarawak, dan tidak boleh diragut selagi Perlembagaan Persekutuan kekal.
Beliau turut menyeru agar semua rakyat Malaysia memahami asas sejarah pembentukan negara, di mana hak keistimewaan Melayu merupakan sebahagian daripada kontrak sosial yang menjamin keharmonian semua kaum.
“Kepada orang bukan Melayu, jangan bimbang. Apabila Melayu kuat dan stabil, secara langsung hak dan keselamatan semua kaum akan terpelihara. Inilah realiti yang telah kita nikmati sejak merdeka. Namun keadaan hari ini sudah berubah dan menuntut kesedaran bersama,” katanya.
Konvensyen 153 dijangka akan diteruskan dalam bentuk roadshow ke negeri-negeri pembangkang, bagi memberi pendedahan kepada rakyat mengenai implikasi perjanjian antarabangsa serta kepentingan mempertahankan hak perlembagaan orang Melayu.
#Konvensyen153
#PertahanHakMelayu
#Perkara153
#KedaulatanNegara
#MelayuBersatu