
KUALA LUMPUR, 16 Mac 2026 – Seramai 240 pelajar Program Asrama Malaysia (AMal) diraikan dalam satu Majlis Iftar yang berlangsung di Saloma Kuala Lumpur, Jalan Ampang, hasil kerjasama antara Yayasan Global Mesra (YGM), Yayasan Muhibah Malaysia (YMM) dan Koperasi Khazanah Usahawan Berhad (KO-KHAWAN).
Program berkenaan dianjurkan bagi menyantuni pelajar berasrama daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama, selari dengan aspirasi Program Asrama Malaysia dalam memperkukuh perpaduan nasional di peringkat sekolah.


Majlis tersebut turut menjadi platform untuk menyemai nilai kebersamaan, semangat berkongsi rezeki serta mempererat hubungan antara pelajar dalam suasana harmoni sepanjang Ramadan. Selain itu, ia juga memberi peluang kepada pelajar yang berjauhan daripada keluarga untuk merasai pengalaman berbuka puasa dalam persekitaran yang penuh keprihatinan.

Penyertaan pelajar Islam dan bukan Islam dalam program ini dilihat mampu memberi impak positif terhadap pembangunan sahsiah, termasuk pengukuhan nilai kerohanian, kesejahteraan emosi serta pembentukan sikap saling menghormati antara agama dan bangsa.
Majlis turut dihadiri beberapa tetamu kehormat termasuk isteri Menteri Pertahanan Malaysia, Datin Seri Rosni Omar; Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Dato’ Sri Hasbullah Mohd Ali; serta Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Shaharuddin Abu Sohot.
Turut hadir wakil Pejabat Perdana Menteri; Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak; Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Sharil Shariff; Pengasas Yayasan Global Mesra, Dato’ Haji Mohd Nasir Mohd Rashid; Presiden Saloma Kuala Lumpur, Datin Sri Dr Rosmariza Dato’ Che Omar; Pengerusi Yayasan Muhibah Malaysia, Lim Ye Han; serta Pengerusi Koperasi Khazanah Usahawan Berhad, Dato’ Eng Yee Koon.



Menurut Dato’ Eng Yee Koon, Ramadan merupakan masa terbaik untuk menyemai nilai ihsan, kasih sayang dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.
“Apabila pelajar daripada pelbagai latar belakang duduk semeja berkongsi juadah berbuka puasa, ia menjadi simbol keharmonian negara serta membentuk generasi muda yang memahami nilai toleransi dan perpaduan sejak di bangku sekolah,” katanya.
Beliau turut berharap agar semangat Ramadan dan kemeriahan menjelang Aidilfitri dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus memelihara keharmonian negara serta membina masa depan Malaysia yang lebih bersatu dan sejahtera.
Menurut penganjur, program seumpama ini mencerminkan komitmen berterusan badan bukan kerajaan, sektor korporat dan masyarakat dalam memperkasa agenda perpaduan nasional serta kebajikan pelajar melalui pendekatan inklusif berteraskan nilai kemanusiaan.
Majlis berakhir dalam suasana penuh kemesraan dan diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif kebajikan serta program pembangunan komuniti pada masa hadapan.
#PerpaduanMalaysia #Iftar2026 #RamadanMalaysia #AsramaMalaysia #SemangatMuhibah #MalaysiaMADANI #AnakMudaBersatu #HarmoniMalaysia #KebajikanPelajar #AATVNews