
KUALA LUMPUR, 19 Disember 2025 – Kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mengumumkan empat pembaharuan utama melibatkan sistem keselamatan sosial negara, termasuk membolehkan semua permohonan faedah PERKESO merentasi empat akta dibuat sepenuhnya secara dalam talian mulai Januari ini.
Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, selepas mengadakan lawatan kerja rasmi sulung beliau ke Menara PERKESO, sekali gus menandakan permulaan agenda reformasi perlindungan sosial yang lebih progresif dan mesra rakyat.

Menurut beliau, langkah digitalisasi menyeluruh itu melibatkan permohonan faedah di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789), Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) serta Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838).
“Pengoperasian penuh Portal LINDUNG Faedah akan meliputi permohonan Hilang Upaya Kekal (HUK), Hilang Upaya Sementara (HUS), Pencen Ilat, Penyakit Khidmat, Faedah Orang Tanggungan (FOT) dan Pencen Penakat.
“Dengan purata lebih 200,000 permohonan faedah setiap tahun, sistem ini akan mengurangkan beban pencarum dan waris yang sebelum ini perlu hadir ke pejabat PERKESO,” katanya pada sidang media, hari ini.
LINDUNG 24 JAM, PEKERJA GIG & RENTAS SEMPADAN TURUT DIBERI PERHATIAN
Selain digitalisasi, Ramanan turut mengumumkan sasaran pelaksanaan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) yang dijangka berkuat kuasa antara suku pertama hingga akhir suku kedua 2026.
Beliau menegaskan, PERKESO kini sedang memperkukuh infrastruktur dalaman dan kecekapan pentadbiran bagi memastikan pelaksanaan skim tersebut berjalan lancar, termasuk kesiapsiagaan terhadap penguatkuasaan Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 yang bakal menjadikan caruman sektor gig sebagai mandatori.
Dalam masa sama, KESUMA turut mengumumkan Skim Pengembara yang akan dimulakan menerusi kajian kebolehlaksanaan mulai tahun hadapan, khusus untuk melindungi hampir 400,000 pekerja tempatan yang berulang-alik merentasi Tambak Johor setiap hari agar tidak tercicir daripada perlindungan keselamatan sosial.
DISKAUN 80% DENDA MAJIKAN, RINGANKAN PMKS
Mengambil kira tekanan kos operasi yang dihadapi majikan, khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), kerajaan turut mengumumkan pengurangan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) sebanyak 80 peratus, berkuat kuasa mulai hari ini hingga hujung Januari 2026.
Langkah itu disifatkan sebagai intervensi bersasar bagi memastikan kelangsungan operasi perniagaan tanpa menjejaskan perlindungan pekerja.
“Kita mahu setiap dasar yang dirangka bukan sekadar cantik di atas kertas, tetapi benar-benar berkesan di lapangan,” tegas Ramanan.
PERKESO SIAP PERKUKUH AGENDA REFORMASI SOSIAL
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, menyatakan keyakinan bahawa kepimpinan baharu KESUMA akan memperkasa peranan PERKESO sebagai tunjang utama perlindungan sosial negara.
“PERKESO bukan sahaja pelaksana dasar, malah rakan strategik kerajaan dalam membina negara yang berdaya tahan dan menjamin kesejahteraan sosial rakyat secara inklusif,” katanya.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman Mohd Yusof, serta Pengerusi Lembaga PERKESO, Dato’ Sri Subahan Kamal.
#AATVNews #PERKESODigital #Lindung24Jam #KeselamatanSosial #PekerjaGig #MalaysiaMADANI #ReformasiSosial #HakPekerja #KESUMA #BeritaSemasa